29 Disember 2013
Borhan Mohd Yaman Borhan
Mohd Yaman
MELAKA - Datuk Borhan Mohd
Yaman, juga dikenali dengan nama penanya Burmy, adalah seorang tokoh yang tidak
mengenal penat lelah dalam memperjuangkan budaya dan politik orang Melayu.
Borhan, 84, terkenal
sebagai seorang penulis dan ahli politik sejak zaman Tunku Abdul Rahman dan
aktif bersama Tun Abdul Ghafar Baba memperjuangkan nasib orang Melayu menerusi
Umno.
Beliau pernah menjadi
Setiausaha Umno Melaka pada tahun 1958 dan 1960 hingga 1961 dan menjadi Ketua
Pemuda Umno negeri Melaka dari tahun 1959 hingga 1969.
Borhan yang dilahirkan di
Kg Lubok Redan, Kuala Sungai Baru di sini pada 7 April 1929 telah memainkan
peranan penting membawa masuk anak-anak muda ke dalam Umno.
Semangat beliau yang
cintakan kepada bangsa, agama dan kemerdekaan negara dibuktikan apabila beliau
mula menjadi ahli Umno pada tahun 1951 ketika berumur 22 tahun.
Sebagai anggota yang
berkaliber, Borhan telah dilantik menjadi Ahli Jawatankuasa Pemuda Umno Melaka
seterusnya pada tahun 1954 beliau telah dipilih menjadi Penolong Setiausaha
Pemuda Umno Melaka.
Bintang politiknya mula
bersinar apabila menjadi Setiausaha Umno Melaka pada 1958 dan 1960 hingga 1961,
dan pada tahun 1959, beliau telah dipilih menjadi Ketua Pergerakan Pemuda Umno
Melaka sehingga 1969 di samping menjadi Ahli
Jawatankuasa Umno Tanah Melayu pada tahun 1961 hingga 1971.
Bertugas sebagai seorang guru
di sini dan mendapat kebenaran berpolitik dari Jabatan Pelajaran Negeri Melaka,
beliau mempunyai minat membaca dan menulis di dalam akhbar dan majalah.
Di samping itu, beliau
menjadi wakil Akhbar Merdeka, lidah rasmi Umno, bagi negeri Melaka malah sebagai
seorang anak muda yang cintakan bangsa, agama dan tanah air, Borhan sentiasa
mengambil berat pergolakan politik Tanah Melayu sejak 1940-an lagi serta beliau
berminat membaca berita-berita dan buku-buku yang berhubung dengan politik
Tanah Melayu dan luar negara antaranya Indonesia.
Beliau kerap menulis di
dalam Majalah Guru dan Akhbar Merdeka, juga terkenal sebagai seorang penulis
rencana dan puisi yang bertemakan kebangsaan malah telah menggabungkan kegiatan
politik dengan lapangan penulisan.
Jasa Borhan dalam
pembelaan bangsa, agama dan negara amat luas.
Ketika menjadi Ahli
Jawatankuasa Lembaga Kemajuan Bahasa Kebangsaan (LKBK) di bawah Majlis
Perbandaran Kota Melaka pada tahun 1962, beliau memainkan peranan penting bagi
menukar nama-nama jalan kepada nama-nama bercorak kebangsaan.
Antaranya beliau
mengusulkan penukaran Wolforstan Road kepada Jalan Bendahara, Main Road dan
Eastern Road kepada Jalan Temenggong, Buona Vista Road kepada Jalan Hang Tuah,
First Street kepada Jalan Hang Jebat, Second Cross Street kepada Jalan Hang
Kasturi, Third Cross Road kepada Jalan Hang Lekir.
Ketika menjadi Pengerusi
LKBK, beliau telah membuat seruan kepada wakil-wakil Dewan Perniagaan Cina,
Dewan Perniagaan Chettiar dan Dewan Perniagaan Melaka supaya mengubah tulisan-tulisan
papan tanda kedai mereka ke
dalam Bahasa Melayu.
Borhan meninggal dunia
pada pukul 7.30 pagi ini akibat sakit tua di Hospital Universiti Kebangsaan
Malaysia, Kuala Lumpur.
Jenazah Allahyarham
selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Klebang di sini pada pukul 2.15
petang. - Bernama
SINAR HARIAN ONLINE 29.12.13
No comments:
Post a Comment