Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my
AMIRULHADI (No. 13)
diperkenalkan secara rasmi sebagai antara pemain baharu Johor DT di Stadium Tan
Sri Hassan Yunos, Larkin minggu lalu.
“KALAU tiada integriti dalam
diri pemain, sampai bila isu langgar kontrak nak selesai? FAM (Persatuan Bola
Sepak Malaysia) harus lebih tegas menangani isu ini.”
Itu reaksi legenda bola sepak
negara, Khalid Ali ketika diminta mengulas senario beberapa pemain yang didakwa
melanggar kontrak menjelang kempen Liga Malaysia (Liga M) 2014.
Amirulhadi Zainal menjadi
pemain terbaharu yang didakwa telah melanggar kontrak dengan Persatuan Bola
Sepak Negeri Pahang (PBNP).
Biarpun dikatakan telah
menandatangani kontrak dua tahun bersama PBNP, Amirulhadi, 27, ternyata telah
mengejutkan ramai pihak apabila dia diperkenalkan sebagai muka baharu Johor
Darul Takzim (Johor DT) musim depan.
Situasi tersebut jelas
memberikan impak kepada PBNP yang semenangnya masih menagih sentuhan anak jati
Alor Gajah, Melaka itu.
Bagaimanapun, status Amirulhadi
akan terjawab hari ini apabila kesnya itu akan dibicarakan pada mesyuarat
Status Pemain FAM yang dipengerusikan oleh Datuk Takiyuddin Hassan.
“Selagi FAM ‘berlembut’, selagi
itu isu ini tidak akan selesai. FAM tidak boleh lagi memberi kelonggaran dengan
menyelesaikan isu ini di luar peringkat FAM.
“Jika tidak, isu ini akan terus
berlarutan dan FAM harus lebih tegas. Kena bagi pengajaran kepada pemain-pemain
yang tidak bertanggungjawab.
“Kalau tidak tahu menghargai
kontrak, saya sarankan baik mereka tak payah main bola,” kata Khalid ketika
dihubungi Kosmo! semalam.
Seperti kes Amirulhadi, status
Nazri Ahmad juga menjadi persoalan kerana bekas pemain pertahanan Johor DT itu
memilih Kelantan sebagai pasukan baharu meskipun dia dikatakan telah
menandatangani kontrak dengan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).
Begitupun, FAM tidak boleh
mengambil tindakan terhadap Nazri kerana Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA)
dan FAS bersetuju untuk menyelesaikan isu terbabit di luar bidang kuasa badan
induk itu.
Menurut Khalid, kredibiliti FAM
akan terjejas jika badan induk itu masih gagal untuk menangani sikap tidak
profesional daripada segelintir pemain terbabit.
“Malulah FAM. Saya sendiri
sebagai bekas pemain pun rasa malu jika kes langgar kontrak dan ‘pusingan U’
berlaku pada setiap tahun.
“FAM harus memperkenalkan lagi
polisi baharu atau lebih tepat, perketat undang-undang perpindahan pemain.
“Saya yakin FAM lebih arif
dalam hal ini. FAM harus bersikap adil dengan setiap (persatuan) negeri atau
kelab,” katanya.
Kelmarin, Timbalan Presiden
FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah turut kesal dengan tindakan beberapa
pemain yang didakwa melanggar kontrak sambil menyifatkan mereka sebagai pemain
yang tidak mempunyai prinsip.
RUJUKAN KOSMO ONLINE 27.12.13
No comments:
Post a Comment