Oleh SHANIKA ABDULLATIB
shanika.latib@kosmo.com.my
BARISAN penerjun negara
meraikan kejayaan mereka menyapu bersih lapan pingat emas pada Sukan SEA 2013
di Myanmar minggu lalu.
KEJAYAAN menyapu bersih kesemua
lapan pingat emas pada temasya Sukan SEA 2013 di Myanmar dianggap penutup tirai
penuh bergaya buat skuad terjun negara.
Boleh dianggap sebagai musim
untuk meredakan tekanan, perjalanan skuad terjun negara sepanjang 2013 ternyata
tidak sehebat seperti tahun sebelumnya.
Biarpun tanpa kejohanan besar
seperti temasya Sukan Olimpik mahupun Sukan Asia dan Sukan Komanwel, kem terjun
negara tetap tampil dengan kelas tersendiri.
Latihan berterusan serta
perjalanan 'ulang-alik' antara Malaysia dan China ternyata berbaloi apabila
prestasi barisan penerjun negara tidak mengecewakan.
Tahun ini juga menyaksikan
penampilan wajah-wajah baharu di pentas antarabangsa - Siri Dunia, Grand Prix
Dunia serta Piala Dunia Terjun.
Keberanian ketua jurulatih,
Yang Zhuliang melakukan eksperimen apabila menggandingkan Ng Yan Yee dan Cheong
Jun Hoong dengan penerjun senior semakin menampakkan hasil.
Paling utama, bebanan untuk
memburu pingat kini tidak lagi dipikul oleh ratu terjun negara, Pandelela
Rinong.
Apa tidaknya, tekanan yang
dipikul sebagai penerjun utama menyebabkan prestasi Pandelela, pemenang pingat
gangsa Olimpik 2012 jatuh merudum pada pertengahan tahun ini.
Mengadu terlalu penat dengan
jadual pertandingan yang padat termasuk tujuh kejohanan yang disertai sepanjang
tahun ini, Pandelela kini mampu menarik nafas lega apabila semakin ramai
bintang baharu muncul.
Kehadiran Nur Dhabitah Sabri
dan Loh Zhiayi yang semakin menyengat juga dilihat mampu menjadi ancaman kepada
penerjun senior sekiranya prestasi mereka tidak mencapai kehendak Zhuliang.
Pastinya, mereka tidak lupa
dengan insiden Zhuliang dan pembantunya, Huang Qiang mengamuk ekoran prestasi
hambar penerjun senior, Traisy Vivien Tukiet.
Nyata 'drama' itu memberi impak
kepada penerjun elit selepas mereka diberi kata dua - sama ada perbaiki
prestasi atau disingkirkan.
Awal tahun 2013 juga
menyaksikan kem terjun negara hampir kehilangan khidmat Zhuliang, jurulatih
kelahiran China apabila dia berura-ura mahu berhijrah ke negara lain selepas
mendapat kontrak dari New Zealand serta Australia.
Bagaimanapun, Zhuliang memilih
untuk terus membimbing skuad terjun negara sehingga 2017 selepas kes melibatkan
taraf kerakyatan serta kontraknya dengan Majlis Sukan Negara (MSN)
diselesaikan.
Tirai 2013 juga menyaksikan
negara kehilangan penerjun berstatus Olimpik, Bryan Nickson Lomas apabila dia
memilih untuk bersara.
RUJUKAN KOSMO ONLINE 27.12.13
No comments:
Post a Comment