Ad

Saturday, 28 December 2013

Nyaris dibaham singa Afrika

 
SALAH seekor daripada 24 harimau belang dan singa Afrika yang berada di bawah jagaan Vasudevan Raman.
SEMASA mula-mula memikul tugas sebagai penjaga harimau dan singa di Zoo Taiping, Vasudevan Raman, 40, mengakui beliau lebih cemas untuk berdepan dengan majikan berbanding mamalia pemangsa yang berada di sekelilingnya.

Individu yang dimaksudkan Vasudevan ialah Pengarah Zoo Taiping, Dr. Kevin Lazarus yang dikenali sebagai seorang yang cukup tegas dalam perihal pengurusan haiwan.

Pernah suatu hari katanya, beliau nyaris dibaham oleh seekor singa gara-gara tersilap memasuki kandang 'berpenghuni' selepas tertekan dimarahi Kevin.

"Petang itu Dr. Kevin datang melawat kandang dan menegur cara saya bekerja. Mungkin ada yang tak betul sebab saya baru kerja.

"Akibat tertekan dengan teguran itu, saya jadi bingung dan secara tidak sengaja telah masuk ke dalam salah satu kandang yang menempatkan singa Afrika," katanya yang bertugas di Zoo Taiping sejak 2002.

Vasudevan berkata, beliau bagaimanapun bernasib baik kerana kepekaan Kevin telah menyelamatkannya daripada menjadi sajian singa pada pagi itu.

"Selepas beredar dari kandang, Dr. Kevin tiba-tiba berpatah balik kerana dapat mengagak saya akan masuk semula ke kandang sedangkan penghadang kandang berkembar yang saya sedang bersihkan itu masih belum ditutup.

"Dia datang tepat pada masa dan terus mengarahkan saya keluar. Sekali lagi saya dimarahi tapi saya berterima kasih kerana jika tidak kerana beliau, saya mungkin sudah tiada," ujar beliau.

Vasudevan yang menguruskan 14 ekor singa dan 10 harimau di Zoo Taiping sejak 11 tahun lalu berkata, selain menuntut pengorbanan masa yang panjang, cabaran kerjanya turut memerlukan minda yang sentiasa peka dan bebas daripada tekanan.

"Untuk uruskan harimau dan singa fikiran mesti tenang kerana di dalam kandang tiada ruang untuk melakukan kesilapan.

"Semua kerja kena buat dengan teliti. Setiap sangkar ada sekurang-kurangnya dua kunci. Kalau terlupa kunci memang padah," katanya.

Walaupun sentiasa berwaspada, bapa kepada dua orang anak itu mengakui tidak terlepas daripada bahaya terutama ketika perlu berdepan dengan haiwan karnivor itu secara berdepan.

Pada pertemuan baru-baru ini, Vasudevan turut menunjukkan keberanian dan kemahirannya 'bermanja' dengan beberapa ekor singa.

"Bukan suka-suka saya mahu masuk dalam kurungan, tapi singa pada usia remaja perlu diajar bermain.

"Kita perlu luang lebih masa untuk lebih mengenali haiwan ini,'' ujar beliau yang menggemari haiwan peliharaan seperti kucing dan anjing sejak remaja.

Selepas berpelukan dengan salah seekor singa yang berusia dua tahun, Vasudevan menunjukkan kesan-kesan cakar pada lengannya.

Bukan sekadar parut biasa tetapi ada yang agak kasar benjolannya malah beliau mengakui sudah menerima berpuluh-puluh jahitan akibat bermain dengan singa-singa jagaannya.

"Ini sudah menjadi sebahagian daripada risiko kerja saya. Ada hari nasib tak baik saya mesti kena.

"Tapi saya sudah biasa dengan kerja ini, sekurang-kurangnya saya dapat 'berlagak' kepada kawan-kawan kerana ada cakar singa di lengan,'' selorohnya.

RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Laporan_Khas/20131228/lk_03/Nyaris-dibaham-singa-Afrika#ixzz2ooj6Cyd3 © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment