Ad

Friday 27 December 2013

Khairulnizam tuntut janji MSN

Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my
 
KHAIRULNIZAM (tengah) dikalungkan pingat emas selepas muncul juara dalam acara Laser Standard perahu layar pada Sukan SEA Myanmar 2013 di Nay Pyi Taw, baru-baru ini.
KUALA LUMPUR - Pelayar negara, Khairulnizam Mohd. Afendy berharap Majlis Sukan Negara (MSN) dapat menunaikan janji untuk mendapatkan khidmat jurulatih selepas dia berjaya mengharumkan nama negara dengan meraih pingat emas pada Sukan SEA 2013 Myanmar.

Menurut Khairulnizam, dia telah memberi apa yang MSN dan Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA) mahukan iaitu pingat emas dalam acara Laser Standard dan sekarang tiba gilirannya untuk mendapat balasan iaitu mendapat khidmat jurulatih atau sekurang-kurangnya kembali berlatih di Croatia di bawah kendalian Aron Lolic.

"Saya harap mendapat pulangan semula dan saya tidak kisah kepada pihak pengurusan untuk mendapatkan mana-mana jurulatih kerana saya mampu menyesuaikan diri dalam masa terdekat," katanya kepada media selepas Majlis Anugerah Atlet Cemerlang Sukan SEA MOM-Sports Toto kelmarin.

Sebelum ini, Utusan Malaysia pernah melaporkan Khairulnizam begitu resah kerana kurang beberapa minggu lagi sebelum Sukan SEA 2013 Myanmar membuka tirai namun dia berdepan dengan masalah ketiadaan jurulatih.

Rintihan tersebut disampaikan sendiri oleh Khairulnizam melalui laman sosial, facebook kepada Utusan Malaysia mengenai ketiadaan jurulatih terutama bagi acara laser standard dan laser radial (wanita) bagi membolehkan mereka membuat latihan sempena temasya dwi tahunan tersebut.

"Jika saya tidak mendapat khidmat jurulatih lebih baik hantar saya berlatih di Croatia kerana Aron (Lolic) tahu perwatakan dan kelemahan saya, lagi pun di sana saya akan berlatih dengan pelayar-pelayar terbaik dunia.

"Sebelum ini mereka (MSN dan MYA) memberitahu saya akan tunaikan apa yang saya mahukan, sekarang ini saya berharap mendapat pulangan semula," katanya yang pernah beraksi di Sukan Olimpik 2012 London.

Ditanya adakah dia akan beraksi pada Sukan Asia 2014 Incheon atau Kejohanan Pelayaran Dunia 2014 Santander, Khairulnizam berkata, dia akan memilik untuk menyertai kejohanan dunia kerana mahu segera melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2016 di Rio.

RUJUKAN://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131228/su_03/Khairulnizam-tuntut-janji-MSN#ixzz2oigJJcbD © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment