Ad

Sunday, 29 December 2013

Josiah Ng

KUALA LUMPUR - Siri Piala Dunia Klasik III di Guadalajara, Mexico dan Kejohanan Trek Dunia 2014 Cali adalah dua kejohanan besar yang tidak akan disertai pelumba trek negara, Josiah Ng yang masih bergelut dengan kecederaan.

Pelumba berusia 33 tahun itu mengalami kecederaan patah tulang rusuk dan selangka ketika beraksi pada Siri Piala Dunia Klasik II di Aguascalientes, Mexico apabila terbabit dalam kemalangan semasa saringan kedua dalam pusingan pertama acara keirin.

Menurut Josiah, dia sedang berusaha untuk kembali sembuh seperti biasa dan akan menjalani satu lagi pemeriksaan hari ini di Amerika Syarikat bagi memastikan tulang selangka kanan berada dalam keadaan normal.

"Selepas pemeriksaan ini barulah saya akan mengetahui tahap kecederaan saya dan menunggu keputusan doktor sama ada saya boleh kembali berlatih atau tidak," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Kemalangan tersebut berlaku awal bulan lalu apabila Josiah sedang memecut untuk menghampiri pelumba Argentina, Hernan Botasso Leandro dan secara tiba-tiba pelumba New Zealand, Matthew Archibald menghimpitnya menyebabkan dia terjatuh sebelum dilanggar pelumba Itali, Francesco Ceci dari belakang.

"Saya rasa boleh kembali berlatih dalam masa terdekat tetapi tidak mungkin dapat menyertai Siri Piala Dunia Klasik III di Guadalajara dan peluang saya untuk melayakkan diri ke Kejohanan Trek Dunia di Cali juga musnah.

"Sekarang saya hanya fokus untuk mempersiapkan diri untuk Sukan Komanwel 2014 Glasgow dan Sukan Asia 2014 Incheon," katanya yang mahu mengucapkan ribuan terima kasih kepada ketua jurulatih, John Beasley, Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Sukan Negara (MSN).

Josiah juga ingin berterima kasih kepada Konsulat Malaysia di Mexico yang sempat melawatnya di hospital, serta ribuan peminatnya di laman sosial, Facebook dan paling penting sekali kepada isterinya, Kim Ong, keluarga dan rakan-rakan yang tidak putus-putus memberi kata semangat kepadanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Naim Mohamad ketika dihubungi berkata, Josiah terpaksa menempuhi kesukaran selepas terbabit dalam kemalangan tersebut apabila perlu menjalani rawatan susulan di Amerika Syarikat dengan menaiki bas ekspres.

"Dia tidak boleh menaiki kapal terbang disebabkan tahap kecederaannya, apa yang saya dapat tahu dia juga sudah menjalani satu pembedahan dan tidak sempat untuk menyertai Siri Piala Dunia Klasik III kerana belum sembuh sepenuhnya.

"Hanya Azizulhasni Awang, Fatehah Mustapa dan Ju Pha Som Net yang akan menggalas cabaran negara dalam di kejohanan tersebut," katanya.

RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131230/su_02/Josiah-lupakan-gelaran-dunia#ixzz2ouHwANKV © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment