Ad

Saturday 28 December 2013

Peluang Misbun Ramdan

 Oleh ZAZALI JAMIAN
sukan@utusan.com.my
 Misbun Ramdan
 
PUTRAJAYA - Misbun Ramdan Mohmed Misbun percaya peluangnya mempertahankan kejuaraan Kejohanan Badminton Sirkit Kebangsaan Peringkat Akhir Maybank pada tahun ini cerah selepas mempamerkan aksi bertenaga menundukkan Mohd. Arif Abdul Latif, 17-21, 21-19, 21-12 untuk ke saingan separuh akhir, hari ini.

Pada aksi terakhir Kumpulan D, semalam, pemain muda negara itu, tidak berhadapan banyak kesukaran untuk menewaskan pemenang Cabaran Antarabangsa Malaysia Maybank 2013, Mohd. Arif terutama selepas set pertama di Kompleks Kejiranan Presint 11.

Kata Misbun Ramdan yang juga anak kepada bekas jurulatih perseorangan negara, Misbun Sidek, tumpuannya kini adalah untuk mengekalkan prestasi konsisten pada aksi separuh akhir menentang juara Kumpulan B, Tan Chun Seang.

"Saya perlu sentiasa bersedia pada aksi separuh akhir esok (hari ini) menentang senior seperti Chun Seang.

"Buat masa ini saya tidak fikir lagi strategi untuk menentangnya sebab tidak pernah bertemu denganny a mungkin idea saya akan lebih jelas ketika menentangnya nanti," kata Misbun Ramdan.

Pada tahun lalu, Misbun Ramdan muncul juara Kejohanan Badminton Sirkit Kebangsaan Peringkat Akhir 2012 buat kali pertama dalam kariernya selepas menewaskan pemain kebangsaan, Chong Wei Feng pada perlawanan akhir yang berlangsung di Kedah.

Dalam pada itu, Chun Seang mengesahkan slot separuh akhir, hari ini selepas menewaskan Iskandar Zulkarnain Zainuddin dalam satu aksi sengit yang berkesudahan 8-21, 21-16, 21-17.

Satu lagi aksi separuh akhir akan mempertemukan juara Kumpulan A, Wei Feng dan Zulfadli Zulkiffli yang muncul sebagai pendahulu Kumpulan C.

Sementara itu, ditanya berhubung perancangan Misbun Ramdan berhubung masa depannya untuk menghadapi tahun 2014, pemain tersebut berkata, semuanya terserah kepada jurulatihnya Misbun.

"Saya tidak tahu apa kejohanan besar yang akan saya sertai tahun depan kerana semuanya diaturkan oleh jurulatih saya.

"Tugas saya sebagai pemain adalah untuk memastikan prestasi saya sentiasa berada di tahap terbaik pada setiap kejohanan yang saya sertai," kata Misbun Ramdan.

RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131229/su_02/Peluang-Misbun-Ramdan#ixzz2oobayVpH © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment