Ad

Sunday 29 December 2013

Misbun Ramdan gagal pertahan gelaran

BEKAS pemain yang bernaung di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Chun Seang mencipta kejutan apabila mara ke pentas akhir Kejohanan Badminton Sirkit Kebangsaan Akhir semalam.

Chun Seang mengetepikan juara bertahan, Misbun Ramdan Misbun 18-21, 21-17, 21-19 dalam perlawanan sengit separuh akhir yang berlangsung di Kompleks Kejiranan Presint 11, Putrajaya.

“Sebenarnya saya sudah kalah dari segi kecergasan dengannya (Ramdan) tetapi saya teruskan saja dan memberikan yang terbaik,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Chun Seang yang kini bermain secara bebas, meninggalkan BAM dua tahun lepas kerana masalah keluarga dan dilarang badan induk itu daripada menyertai sebarang kejohanan antarabangsa sepanjang tempoh berkenaan.

“Kalau mereka (BAM) mahu pelawa saya untuk mewakili negara, saya memang mahu tetapi itu terpulanglah pada mereka,” katanya.
 Chun Seang bakal berdepan pemain kebangsaan dan pilihan utama kejohanan, Chong Wei Feng dalam pertemuan akhir hari ini.

Wei Feng mara ke pentas akhir selepas mudah menundukkan Zulfadli Zulkiffli 21-8, 21-17.

Turut mara ke akhir ialah Lim Chiew Sien dan Yang Li Lian dalam saingan perseorangan wanita, gandingan Hoon Thien How/Tan Wee Kiong dan Goh V. Shem/Lim Khim Wah bagi beregu lelaki, Lee Meng Yean/Lim Yin Loo dan Chiow Mei Kuan/Vivian Hoo (beregu wanita) serta Chan Peng Soon/Lai Pei Jing dan Jian Guo/Lim Yin Loo (beregu campuran).

No comments:

Post a Comment