PEMANDANGAN salah satu hutan
berpaya yang mengetengahkan konsep terbuka di Zoo Taiping.
SEPERTI dicampak jauh ke
tengah-tengah hutan. Itulah pengalaman yang dapat disimpulkan penulis selepas
menghabiskan masa sepetang di Zoo Taiping.
Olahan taman haiwan yang
berlatar belakang alam semula jadi cukup berbeza dengan taman-taman haiwan yang
pernah dilawati sebelum ini.
Ketika melalui beberapa kawasan
yang redup dilitupi rimbunan pokok-pokok gergasi, diri terasa seperti menceroboh
ke habitat sebenar haiwan yang berkeliaran di depan mata.
Berbeza dengan apa yang
disajikan kira-kira 20 tahun lalu, pameran haiwan di Zoo Taiping tidak lagi
menggunakan kaedah kurungan bersangkar sebaliknya kebanyakan haiwan dibiarkan
bebas berkeliaran.
Tiada lagi pagar besi serta
dinding dawai yang menjadi pemisah antara pelawat dengan haiwan.
Halangan itu kini digantikan
dengan landskap seperti parit, aliran sungai dan pulau.
Pameran tanpa pagar atau konsep
terbuka yang mewujudkan simbiosis unik antara flora dan fauna merupakan salah
satu daripada rahsia kejayaan zoo berkenaan.
Di Zoo Taiping penulis menemui
Pengarahnya, Dr. Kevin Lazarus yang merupakan tulang belakang pembangunan
konsep terbuka di taman haiwan tertua negara itu.
Menurut Kevin, keunikan ruang
pameran dan keindahan landskap di zoo tersebut merupakan hasil pembangunan yang
dimulakan sejak 1991.
Projek konsep terbuka bermula
selepas kita menyedari bahawa pameran dalam sangkar amat menjemukan malah soal
kebajikan haiwan juga sering mendapat perhatian banyak pihak.
KELUASAN habitat dibina dengan
mengambil kira keperluan setiap haiwan.
Namun jika bukan di zoo, di
mana lagi tempat untuk orang ramai melihat spesies-spesies haiwan luar biasa
seperti gajah, harimau dan singa?
Langkah pertama adalah dengan
membina sebuah pulau yang dikelilingi oleh parit. Pulau Siamang adalah contoh
konsep terbuka pertama yang masih kekal sehingga hari ini, katanya.
Beliau yang memulakan tugas
sebagai Pegawai Veterinar di zoo itu pada 1987 berkata, pelaksanaan konsep itu
bertujuan untuk mengurangkan penggunaan sangkar dan pada masa sama menyediakan
habitat yang lebih semula jadi kepada haiwan.
Sebelum projek berkenaan
dimulakan katanya, Kerajaan Negeri Perak turut meluluskan penambahan tanah zoo
daripada 9.7 hektar kepada 13.7.
Bagi mengurangkan kos pembinaan
kurungan terbuka yang tinggi, Kevin mengaplikasikan bentuk asal muka bumi di
situ mengikut kesesuaian setiap haiwan.
Meskipun idea yang dikemukakan
itu praktikal beliau terpaksa menghadapi satu lagi cabaran iaitu untuk
mendapatkan susun atur terbaik.
Konsep terbuka bukan sahaja
dilakukan mengikut topografi kawasan tetapi perlu disusun teliti supaya ruang
pameran tidak dibina secara sejajar di kiri kanan laluan.
Cabaran utama adalah untuk
mewujudkan habitat seperti di hutan sebenar, katanya.
Berbekalkan pengalaman dan
kajian yang dilakukan tahun demi tahun, sebahagian besar daripada ruang pameran
zoo kini mengaplikasikan konsep terbuka.
Hasil daripada susun atur dan
pembangunan konsep tersebut, pengunjung Zoo Taiping kini berpeluang menikmati
jarak perjalanan sejauh 2.5 kilometer di dalam kawasan seluas 13 hektar.
Kevin memberitahu, pembangunan
konsep terbuka masih diteruskan secara berperingkat sehingga kini.
Salah satu tarikan terbesar
yang bakal dipersembahkan pada awal 2014 adalah kawasan Savana Afrika.
Savana Afrika direka untuk
membolehkan pengunjung meneroka habitat haiwan savana seperti zirafah, kuda
belang, burung unta, entelop dan beberapa spesies lain.
Dengan sedikit bayaran
tambahan untuk pakej istimewa ini, pengunjung akan dibawa memasuki kawasan ini
untuk berada lebih dekat dengan haiwan, katanya.
RUJUKAN:
http://www.utusan.com.my/utusan/Laporan_Khas/20131228/lk_01/Kejayaan-konsep-terbuka#ixzz2ooexFbM9
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment