Ad

Tuesday, 31 December 2013

Janganlah menyakiti jiran tetangga

Oleh MOHAMAD DHIYAUDDIN ABDUL KADIR
JIRAN tetangga ialah orang yang tinggal bersebelahan atau berhampiran dengan kediaman kita. Sejak zaman-berzaman, manusia tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan berjiran yang membentuk suatu komuniti. Hidup berjiran merupakan amalan yang mulia serta memberi banyak manfaat kepada manusia.

Islam sebagai sebuah agama yang syumul (menyeluruh) dan lengkap turut menitikberatkan adab-adab terhadap jiran tetangga. Inilah keistimewaan agama yang dibawa oleh Rasulullah SAW kerana ia bukan sahaja menekankan aspek ketuhanan, bahkan turut merangkumi aspek sesama manusia.

Bagi sesetengah orang, jiran tidak lebih sekadar mereka yang tinggal berhampiran rumah dan tidak ada kaitan dengan hidupnya. Tidak perlu menghormati mereka, apatah lagi mengambil berat dan beradab sesama jiran. Pandangan seperti ini sebenarnya jauh tersasar kerana Allah SWT sendiri memerintahkan umat Islam saling berbuat baik kepada jiran tetangga.

Firman Allah SWT: Dan hendaklah kamu beribadah kepada Allah dan janganlah kamu menyekutukan-Nya dengan sesuatu pun. Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang miskin, jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh, rakan sejawat, ibnu sabil dan hamba sahayamu. (an-Nisa’: 36)

Menurut Ali bin Abi Talhah, Mujahid dan Qatadah, maksud jiran tetangga yang dekat dalam surah an-Nisa’ di atas ini ialah orang yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan kita. Sedangkan maksud jiran tetangga yang jauh bermaksud mereka yang tidak mempunyai hubungan kekeluargaan dengan kita.

Hubungan kekeluargaan

Pendapat lain daripada Abu Ishaq mengatakan bahawa jiran tetangga yang dekat tersebut bererti jiran tetangga yang dekat itu ialah orang Islam sedangkan jirang tetangga yang jauh itu ialah orang bukan Islam.

Berdasarkan definisi ini, jelas menunjukkan kewajiban melakukan kebaikan terhadap jiran tetangga, baik mereka ahli keluarga atau tidak mempunyai hubungan kekeluargaan sekalipun mereka bukan Muslim. Beginilah keindahan yang ditekankan oleh Islam agar manusia saling hidup dengan aman dan sejahtera.

Rasulullah SAW turut mengingatkan kita semua terhadap kepentingan menjaga hubungan kejiranan dan adab-adab terhadap mereka. Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Jibril sentiasa berpesan kepadaku agar berbuat baik kepada jiran tetangga sehingga aku menyangka bahawa jiran tetangga itu termasuk ahli waris. (riwayat Al-Bukhari no. 6014)

Berdasarkan hadis ini, Rasulullah SAW sentiasa dipesan oleh Malaikat Jibril untuk berbuat baik kepada jiran tetangga. Baginda menyangka jiran termasuk ahli waris kerana Malaikat Jibril kerap berpesan supaya berbuat baik terhadap jiran. Seperti yang kita ketahui, orang yang layak mewarisi harta ialah mereka yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan pewaris. Bayangkanlah nasihat Malaikat Jibril ini kepada Nabi, sehingga Baginda menyangka jiran itu umpama ahli keluarga kita sendiri.

DALAM sebuah hadis lain, Rasulullah SAW pernah menyatakan bahawa mereka yang membuatkan jiran tetangga berasa tidak selesa dengannya sebagai orang yang tidak sempurna imannya.

Rasulullah SAW bersabda: Demi Allah, tidak beriman. Demi Allah tidak sempurna imannya. Demi Allah tidak sempurna imannya. Beliau ditanya siapakah ya Rasulullah? Baginda menjawab: Orang yang mana jiran tetangganya tidak merasa aman kerana gangguannya. (riwayat Muslim no. 46)

Sebahagian umat Islam zaman kini mengabaikan hak-hak jiran tetangga sehingga menimbulkan rasa kurang selesa jiran tetangga.

Contohnya tidak menjaga kebersihan sehingga menyebabkan jiran terganggu dengan bau busuk atau terlalu bising di rumah sehingga mengganggu ketenteraman jiran terdekat.

Perkara sebegini wajib dielakkan bukan sekadar menunjukkan tanda keimanan bahkan supaya hubungan silaturrahim dengan jiran dapat dipelihara sebaiknya.

Ini dikuatkan lagi dengan sabda Rasulullah yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, maka janganlah dia menyakiti jiran tetangganya. (riwayat Al-Bukhari no. 6136)

Menyakiti jiran bukan hanya bermaksud mencederkan tubuh badan mereka sebaliknya ia juga bermaksud menimbulkan rasa tidak selesa, tidak tenteram dan kurang senang dengan sikap kita yang berjiran dengannya. Semoga kita semua sentiasa menjaga adab-adab berjiran yang ditekankan oleh Islam sebaik-baiknya. Wallahu a’lam.

SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20131225/ba_02/Janganlah-menyakiti-jiran-tetangga#ixzz2p4ZYIfKb © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment