Ad

Tuesday, 31 December 2013

Kenapa kita perlu takut?

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Perasaan bimbang dan gentar untuk bersaing dengan pemain-pemain lain di dalam pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) tidak pernah wujud dalam kamus pemikiran pertahanan kebangsaan dan bekas pemain Harimau Muda, Mohd. Fadhli Shas.

Bukan mahu mendabik dada tetapi pemain muda berusia 22 tahun itu mengakui, dia berasa cukup tenang setakat ini apabila ditanya mengenai prospek beraksi bersama pasukan JDT yang dibarisi ramai pemain bintang termasuk di bahagian pertahanan.

Mohd. Aidil Zafuan Abd. Razak, Baihakki Khaizan, S. Subramaniam, Azizi Matt Rose dan Kamarul Afiq Kamaruddin, itulah nama-nama besar yang bukan calang-calang dan terpaksa disaingi oleh Fadhli jika mahu sentiasa merasai nikmat bermain dalam pentas Liga Malaysia, musim ini.

''Tidak perlu berasa terlalu takut atau bersikap mengalah sebelum berjuang, ini adalah satu persaingan yang sihat kerana akan membuatkan saya sentiasa mahu meningkatkan prestasi dari masa ke semasa.

''Jika tiada persaingan, ia mungkin membuatkan saya berasa terlalu selesa kerana memikirkan tempat saya dalam pasukan tidak terancam, saya melihat ini sesuatu yang positif.

''Walaupun begitu, semuanya bergantung kepada perancangan jurulatih (Cesar Ferrando Jimenez) dan saya harap mampu memikat hatinya untuk sentiasa disenaraikan, " katanya ketika dihubungi, semalam.

Selain Fadhli, dua lagi rakannya dari pasukan Harimau Muda, Mohd. Izham Tarmizi dan Mohd. Irfan Fazail turut menyertai JDT pada musim ini.

Ketika Harimau Malaya di bawah kendalian Datuk K. Rajagobal, Fadhli dianggap antara tulang belakang kepada barisan pertahanan dan sering kali bergandingan dengan Aidil Zafuan.

Walaupun begitu, masa depan Fadhli selepas ini bersama skuad kebangsaan dilihat sedikit terancam jika jarang mendapat tempat dalam kesebelasan utama JDT pada musim ini.

Kebimbangan itu bagaimanapun tidak dapat diselindungkan oleh Fadhli yang merasakan dia perlu bekerja keras jika masih mahu menyarung jersi keramat Harimau Malaya pada masa akan datang.

''Rasa bimbang itu mestilah ada..kerana saya tahu kalau jarang bermain, bagaimana orang mahu nilai prestasi saya dan itu antara perkara utama yang saya perlu atasi.

''Jalan penyelesaiannya hanya satu iaitu saya kena sentiasa merebut peluang yang ada dan berikan komitmen setiap kali latihan, tiada jalan pintas lain," katanya.

SUMBER RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140101/su_03/Kenapa-kita-perlu-takut#ixzz2p60Ll1Bj © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment