Ad

Tuesday 31 December 2013

Liverpool elak buat silap


 
PEMAIN-PEMAIN Liverpool perlu mengelak daripada melakukan kesilapan yang sama ketika melayan kunjungan Hull City di Anfield malam ini.

LIVERPOOL - Brendan Rodgers menegaskan bahawa Liverpool tidak akan mengulangi kesilapan yang sama ketika melayan kunjungan Hull City pada aksi Liga Perdana England di Anfield malam ini.

Skuad kendalian Rodgers itu tewas mengejut 1-3 kepada Hull City di Stadium KC pada 1 Disember lalu selepas mereka melakukan beberapa kesilapan termasuk jaringan sendiri pemain pertahanan The Reds, Martin Skrtel.

Begitupun, Rodgers tetap yakin Liverpool akan bangkit untuk memburu kemenangan pertama selepas mencatat dua kekalahan berturut-turut kepada Manchester City dan Chelsea.

"Sangat mudah kerana kami akan beraksi di laman sendiri dan kami menjangkakan kemenangan.

"Kami kecewa dengan tahap permainan kami ketika itu (1 Disember lalu). Kami beraksi jauh daripada standard sebenar tetapi anda perlu memberikan kredit kepada Hull kerana berjaya memenangi perlawanan itu.

"Namun, kami berazam untuk tidak mengulangi kesilapan yang sama sekali lagi kerana perlawanan di laman sendiri sangat penting buat kami.

"Kami sedar perlawanan ini (malam ini) akan menjadi sengit sama seperti mana-mana aksi-aksi liga yang lain.

"Mereka (Hull City) baru sahaja mencatat kemenangan besar 6-0 ke atas Fulham. Keputusan seperti itu jarang berlaku di saingan Liga Perdana England lebih-lebih lagi apabila kedudukan terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama.

"Ia adalah satu keputusan yang sangat hebat dicatat Hull City," kata Rodgers.

Pada aksi malam ini, Rodgers berharap kapten, Steven Gerrard akan diturunkan setelah kembali menjalani latihan bersama skuad The Reds selepas sembuh daripada kecederaan hamstring sejak 7 Disember lalu.

Bagaimanapun, Liverpool terpaksa melupakan khidmat pemain tengah, Joe Allen dan tonggak pertahanan, Mamadou Sakho yang mengalami kecederaan ketika tewas 1-2 kepada Chelsea di Stamford Bridge, Isnin lalu. - AFP

SUMBER:KOSMO ONLINE 1.1.2014

No comments:

Post a Comment