Oleh SUFIAN HADI MOHD. SOJAK
sukan@utusan.com.my
Chong Wei Fern mara ke
perlawanan akhir selepas menumpaskan Zulfadli 21-8, 21-17 pada Kejohanan
Badminton Maybank Sirkit Kebangsaan 2013 di Putrajaya, semalam.
PUTRAJAYA - Pemain badminton
negara, Chong Wei Feng mahu melupakan babak sedih yang menghantui dirinya di
Myanmar supaya dapat memberi tumpuan penuh pada perlawanan akhir acara
perseorangan lelaki Kejohanan Badminton Maybank Sirkit Kebangsaan Peringkat
Akhir 2013, hari ini.
Wei Feng yang menang 21-8,
21-17 ke atas lawannya Zulfadli Zulkifli dalam aksi separuh akhir berkata,
pengalaman pahit itu perlu dijadikan iktibar dan batu loncatan untuknya
bersaing merebut kejuaraan terutama dalam tiga temasya penting yang bakal
berlangsung tahun hadapan.
Dalam masa sama, pemain berusia
26 tahun itu mengakui masih belum berpuas hati dalam pencapaian peringkat
antarabangsa memandangkan dia telah mendominasi sirkit tempatan dan tidak mahu
dilabel sebagai jaguh kampung.
"Saya pernah menjadi juara
dalam dua perlawanan iaitu Maybank Sirkit Kebangsaan Terbuka Kedah dan Kuala
Lumpur pada bulan Jun dan Oktober lalu. Tetapi pada perlawanan antarabangsa
baru-baru ini pula saya gagal membawa sebarang pingat.
"Saya tahu saya telah mengecewakan
ramai peminat badminton termasuk jurulatih saya apabila tewas dalam Sukan SEA
tempoh hari. Saya tidak mahu ingat perkara lama.
" Tahun 2014 adalah tahun
yang sangat berat bagi saya apabila diberi kepercayaan untuk mewakili negara
buat pertama kali dalam perlawanan besar seperti Sukan Asia di Korea, Piala
Thomas di India dan Sukan Komanwel di Scotland.
"Saya harap, saya dapat
buat yang terbaik untuk negara dan tidak mahu mengulangi kesilapan lalu. Apa
yang sudah terjadi, biarlah terjadi, tidak perlu diungkit lagi cerita
ini," katanya ketika ditemui sini, semalam.
Wei Feng mara ke perlawanan
akhir dan bakal berentap dengan pemain bebas, Tan Chun Seang hari ini yang
sebelum itu menyingkirkan penyandang juara, Misbun Ramdan Misbun dalam rubber
set 18-21, 21-17, 21-19.
Mengulas mengenai lawannya, Wei
Feng berkata, Chun Seang adalah seorang pemain yang sangat hebat selain mampu
mengubah corak permainan pada saat-saat akhir perlawanan.
"Saya kurang pasti keadaan
dia sekarang. Buat masa ini, dia (Chun Seang) antara pemain terbaik negara. Apa
yang pasti, dia mempunyai kelebihan yang pemain lain tidak ada.
"Apa pun, saya perlukan
rehat yang cukup untuk mengembalikan tenaga supaya cergas ketika berada di
dalam gelanggang esok (hari ini)," tambahnya.
RUJUKAN:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131230/su_04/Wei-Feng-lupakan-cerita-sedih-Myanmar#ixzz2ouK3QLrE
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment