Ad

Friday 27 December 2013

Sedia tabur bakti lagi

Oleh Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: Jurulatih Harimau Muda A, Datuk Ong Kim Swee memberi isyarat bahawa beliau masih berminat untuk terus menabur bakti bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selagi badan induk itu memerlukan khidmatnya.

Kedudukan pengendali itu kembali menjadi tanda tanya selepas beliau gagal dalam melaksanakan misi mempertahankan pingat emas Sukan SEA Myanmar baru-baru ini serta mengeluarkan kenyataan bahawa sudah penat untuk mengharungi kempen Sukan SEA pada edisi akan datang.

Namun Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin pantas mempertahankan kedudukan Kim Swee dengan menegaskan bahawa mereka masih memerlukan khidmat Kim Swee dan bersedia untuk melanjutkan kontrak pengendali itu yang bakal tamat pada 31 Disember ini seperti ketetapan Exco FAM pada 24 November lalu.

Bagi Kim Swee, 43, beliau menganggap kenyataannya itu mungkin menimbulkan tanggapan berbeza bagi sesetengah pihak sedangkan semangatnya untuk memberi sumbangan kepada bola sepak negara masih sama.

“Mungkin ada pihak yang salah faham dengan kenyataan saya sebelum ini.



Bukan bermakna apabila saya menyebut perkataan penat, saya sudah tidak berminat membimbing skuad muda negara.

Saya masih sayangkan bola sepak negara.


“Apa yang saya katakan itu hanyalah mahu menggesa agar kita semua pandang lebih jauh dan tidak meletakkan keutamaan kepada temasya Sukan SEA saja,” katanya.

Mengikut kenyataan Hamidin menerusi laporan Arena Metro Rabu lalu, kontrak Kim Swee akan disambung namun jawatannya bakal dibincang mengikut situasi semasa sama ada akan terus membimbing Harimau Muda A, menjadi penolong jurulatih kepada skuad kebangsaan ataupun dinaikkan pangkat menjadi ketua jurulatih.

Bagaimanapun apa yang pasti, Kim Swee sudah dilantik sebagai ketua jurulatih kebangsaan selepas kontrak Datuk K Rajagobal berakhir 31 Disember ini.

“Saya masih ada baki kontrak selaku jurulatih Harimau Muda A.


Jika ada sedikit perubahan untuk Sukan SEA nanti untuk menghantar mana-mana pasukan (Harimau Muda A atau B) saya tidak tahu.

Tapi selagi saya diarahkan oleh FAM membimbing pasukan ke Sukan SEA, saya bersedia memikul tanggungjawab itu.
“Saya akan bersedia menjalankan tugasan yang diamanahkan dan saya menunggu arahan FAM jika ada sebarang perubahan termasuk berkaitan dengan skuad kebangsaan,” katanya.

MYMETRO ONLINE : 2013/12/27

No comments:

Post a Comment