Zulkifli Mohamad (duduk, lima
dari kanan) bersama waris keturunan Tok Shahrom, Tok Gajah dan Mat Kilau
selepas mesyuarat persatuan tersebut di Jerantut, Pahang, baru-baru ini. -
UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
JERANTUT 18 Ogos - Persatuan
Waris dan Keturunan Tok Shahrom, Tok Gajah dan Mat Kilau berusaha untuk
memindahkan makam Tok Gajah di Kampung Pasir Nering, Kuala Berang, Terengganu
ke Kampung Kedondong, Pulau Tawar di sini tahun ini.
Pengerusinya, Datuk Zulkifli
Mohamad berkata, usaha itu dilaksanakan bagi menempatkan semula makam tersebut
di kampung asalnya berdekatan dengan makam anaknya, Mat Kilau di Kampung
Kedondong yang kini digazetkan sebagai Kota Warisan.
Menurutnya, Tok Gajah yang
dikenali sebagai Imam Perang Rasu Shahrum merupakan Orang Besar Raja Pahang
meninggal dunia pada 1901 dan dikebumikan di Pasir Nering, Kuala Berang.
"Usaha kami memindahkan
makam berkenaan dibuat sejak awal penubuhan persatuan ini pada 2008, tetapi
masih belum kesampaian kerana masalah kewangan dan pengurusan tertentu.
"Kini, ahli persatuan
sudah bersedia melaksanakan pemindahan makam berkenaan membabitkan kos
pengurusan bernilai RM100,000 di samping mengharapkan bantuan kerajaan negeri
untuk mempercepatkan usaha ini," katanya kepada pemberita selepas
mesyuarat dengan ahli jawatankuasa persatuan itu di Rumah Persinggahan Jerantut
di sini kelmarin.
Menurut Zulkifli, kerja itu
bukan mudah kerana pihaknya perlu berunding dengan kerajaan Terengganu, Muzium
Terengganu, Jawatankuasa Pelancongan Negeri dan Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan
(JKKK) Kampung Pasir Nering kerana makam berkenaan telah diselenggarakan oleh
mereka sebagai aset sejarah serta pelancongan di sana.
Katanya, persatuan itu akan
mendapatkan bantuan dan kerjasama kerajaan negeri, pakar sejarah universiti
tempatan dan pakar forensik sebelum kerja tersebut dijalankan nanti.
"Waris Tok Shahrom, Tok
Gajah dan Mat Kilau di sini berharap kerajaan Terengganu bersetuju
merealisasikan pemindahan ini dan perundingan akan diatur oleh saya dan ahli
persatuan dalam masa terdekat," ujarnya.
Katanya, pemindahan itu
bertujuan mengembalikan kegemilangan sejarah perjuangan ketiga-tiga pahlawan
tersebut untuk tatapan generasi akan datang selain merancakkan sektor
pelancongan di sini.
"Usaha ini antara lain
juga bagi meletakkan status ketokohan Tok Gajah yang diburu penjajah British
pada 1892 sehingga membawa diri ke Hulu Kelantan dan meninggal dunia di Hulu
Terengganu sebagai pahlawan yang berasal dari Pahang," katanya.
RUJUKAN:http://www.utusan.com.my/utusan/Pahang/20130819/wp_02/Persatuan-berusaha
pindahkan-makam-Tok-Gajah-ke-Jerantut#ixzz2ofINrTqH © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment