Ad

Sunday 29 December 2013

Kim Swee ambil pendirian positif

 Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my
 
KIM SWEE (dua dari kanan) tetap komited untuk melaksanakan tugas sebagai pengendali sementara Harimau Malaya.

DATUK Ong Kim Swee tetap komited untuk melaksanakan tugasnya sebagai jurulatih sementara skuad Harimau Malaya.

Biarpun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan terdapat calon lain bakal menyandang ‘kerusi panas’ bagi menggantikan tempat Datuk K. Rajagobal, Kim Swee mengakui fokusnya tidak terjejas berhubung perkara itu.

“Sudah jelas sebelum ini saya hanya dilantik sebagai pengendali sementara Harimau Malaya. Jadi, sepatutnya tiada sebarang spekulasi timbul mengenai perkara ini.

“Jika sudah ada calon sesuai (pengendali tetap Harimau Malaya), masanya pasti tiba tidak kira cepat atau lambat dan saya tidak mempunyai sebarang masalah berhubung perkara itu,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Kelmarin, Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mengesahkan jurulatih kelahiran Perancis, Philippe Omar Troussier merupakan antara calon dari Eropah yang paling hampir untuk dipertimbangkan bagi mengendalikan skuad Harimau Malaya.

Tengku Abdullah dilaporkan berkata, hanya faktor kewangan semasa FAM yang mengekang hasrat pengambilan segera Troussier sebagai jurulatih tetap Harimau Malaya.

Ini kerana Troussier dilapor menuntut gaji lebih RM416,000 sebulan sehingga menyebabkan FAM memerlukan suntikan kewangan dari pihak penaja bagi memenuhi tuntutan jurulatih itu.

Senario itu juga dilihat seakan-akan menutup ruang buat Kim Swee mengendalikan skuad Harimau Malaya secara tetap biarpun beliau antara calon popular dalam kalangan peminat tempatan bagi menggantikan Rajagobal yang tidak lagi disambung kontrak oleh FAM.

Selain Troussier, antara nama-nama jurulatih asing yang disebut-sebut menyandang ‘kerusi panas’ itu termasuklah bekas penolong jurulatih Liverpool, Alex Milner; Marcel Desailly (Perancis); Bobby Houghton (England) dan juga bekas pengendali Singapura, Radojko Avramovic.

Kali terakhir skuad kebangsaan menerima sentuhan jurulatih asing ialah pada 2004 di bawah kendalian jurulatih kelahiran Hungary, Bertalan Bisckei.

Mengulas lanjut, Kim Swee memberitahu buat masa ini beliau belum membuat sebarang perancangan buat Harimau Malaya menjelang aksi terakhir kempen kelayakan Piala Asia 2015 berdepan Yemen pada Mac tahun depan.

“Masih terlalu awal terutamanya mengenal pasti senarai pelatih dan sebagainya.

“Buat masa ini, semua pemain juga sedang bercuti, jadi berkemungkinan besar sesi latihan akan diadakan dalam tempoh seminggu dua lagi,” jelas Kim Swee yang masih diberi kepercayaan membimbing skuad Harimau Muda A.

Sebagai rekod, mendiang Bertalan Bicskei merupakan jurulatih asing yang terakhir membimbing skuad negara iaitu dari 2004 hingga 2005.

Sebelum Bicskei, antara jurulatih luar yang pernah membimbing skuad negara ialah Alam Harris dari England, Hatem Souissi (Tunisia) dan Claude Le Roy (Perancis).

No comments:

Post a Comment