Ad

Tuesday 31 December 2013

Rajagobal hijrah ke Singapura?

 
Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

TINGGAL KENANGAN... Rajagobal mengakhiri tahun 2013 dengan melepaskan status sebagai pengendali Harimau Malaya.

DESAS-DESUS kini bertiup kencang apabila bekas pengendali Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal dilapor bakal berkelana ke Singapura.

Spekulasi itu semakin hangat apabila Rajagobal dikatakan hampir menyatakan persetujuan untuk membimbing salah satu kelab di negara republik tersebut.

Rajagobal yang membimbing skuad negara menjuarai Piala AFF Suzuki 2010 dan memenangi pingat emas Sukan SEA 2009, kini bebas menyertai mana-mana pasukan selepas kontraknya dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) secara rasmi tamat semalam.

Ketika diminta mengulas mengenai perkara tersebut, Rajagobal mengakui, beliau menerima banyak tawaran untuk menjadi jurulatih pasukan baharu.

Rajagobal turut memberikan sedikit bayangan mengenai masa depannya biarpun enggan mengulas lanjut.

“Saya tidak tahu mengenai tawaran daripada (salah satu kelab) Singapura tetapi saya akui memang ada tawaran daripada pasukan-pasukan lain.

“Kita tengoklah macam mana. Jika tiada aral melintang, saya rasa tiada masalah untuk berbincang (dengan mana-mana pasukan).

“Saya mahu menilai terlebih dahulu setiap tawaran yang saya terima dan saya tidak mahu membuat keputusan terburu-buru.

“Saya akan fikirkan kemudian dan buat masa ini, saya mahu berehat bersama keluarga,” kata Rajagobal ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Rajagobal berkata, beliau akan mengumumkan mengenai hala tuju terbaharunya jika telah bersetuju menerima tawaran daripada mana-mana pihak.

“Seperti yang saya katakan tadi, memang ada tawaran tetapi saya akan maklumkan kepada semua pihak jika ada sesuatu yang baharu,” katanya.

Pada November lalu, FAM memutuskan untuk tidak menyambung kontrak dengan bekas jurulatih Selangor dan Kelantan itu yang mula membimbing skuad Harimau Malaya sejak 2009.

Ini kerana Rajagobal gagal memenuhi Petunjuk Prestasi Indeks (KPI) yang ditetapkan FAM iaitu layak secara automatik ke pusingan akhir Piala Asia 2015 di Australia.

KOSMO ONLINE 1.1.2014

No comments:

Post a Comment