Ad

Thursday, 26 December 2013

'Mereka tiada prinsip'

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

HAIRUDDIN (kanan) antara pemain yang didakwa terlibat dengan 'pusingan U'.

SENARIO ‘pusingan U’ dalam kalangan pemain bola sepak negara dilihat menjejaskan reputasi yang ada pada pemain itu sendiri.

Sebaik Pahang menutup tirai bola sepak tempatan dengan menjuarai Piala Malaysia 2013, cerita mengenai penghijrahan pemain-pemain dalam Liga Bola Sepak Malaysia (Liga M) mula menjadi tumpuan.

Bermula dengan insiden ‘pusingan U’ pertama musim ini, kapten Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Hairuddin Omar dan tonggak pertahanan, Nor Fadzly Alias dikatakan telah menandatangani borang C-03/2 bersama Felda United.

Pengendali The Settlers, Irfan Bakti Abu Salim naik berang apabila kedua-dua pemain tersebut mengambil keputusan untuk kekal bersama The Gladiators musim depan meskipun sudah menandatangani surat persetujuan.

Begitupun, tiada tindakan susulan daripada pihak Irfan selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan Felda tidak mengemukakan kes tersebut kepada pihaknya.

Terbaharu, pemain tengah Tok Gajah, Amirulhadi Zainal didakwa melakukan perbuatan sama apabila bekas pemain Selangor itu dikatakan sudah menjadi milik Johor Darul Takzim (Johor DT) untuk aksi Liga Super 2014.

Apa yang pasti, peminat-peminat setia Tok Gajah jelas kecewa dengan tindakan Amirulhadi yang dikatakan telah disenaraikan dalam skuad Pahang musim depan, mengambil keputusan meninggalkan Pantai Timur menerusi perjanjian ‘pintu belakang’.

Rasa kecewa itu juga tidak terkecuali buat Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang menyifatkan pemain yang melakukan ‘pusingan U’ adalah satu perbuatan yang tidak berprinsip.

Tengku Abdullah bertitah, FAM telah menetapkan garis panduan bagi perpindahan pemain tetapi pemain-pemain terbabit masih gagal mematuhi perjanjian tanpa merujuk dengan majikan lama.

“(‘Pusingan U’) melambangkan perbuatan tidak profesional bagi pemain. Kamu tidak boleh salahkan FAM atau persatuan-persatuan bola sepak (negeri atau kelab).

“Ini kerana pemain yang berprinsip tidak akan melakukan sebegini dan perkara ini bukanlah baharu dalam bola sepak negara kita.

“Biarpun tidak ramai pemain bersikap sebegini tetapi perbuatan segelintir pemain (yang membuat ‘pusingan U’) jelas memburukkan senario bola sepak negara),” titah baginda kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan persekolahan sumbangan Yayasan Istana Abdul Aziz kepada 300 anak-anak mangsa banjir di kawasan Kuantan, semalam.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, status Amirulhadi menjadi tanda tanya selepas menyertai pasukan Harimau Selatan untuk musim depan.

Difahamkan, Amirulhadi telah mengikat kontrak selama dua tahun bersama Tok Gajah sebelum berhijrah ke Johor DT.

Tambah Tengku Abdullah, baginda berharap kemelut Amirulhadi dapat diselesaikan dengan cara lebih berhemah.

“Saya berharap ketiadaan pemain itu dapat digantikan dengan individu yang memahami konsep perjanjian,” titah baginda.

Dalam perkembangan sama, legenda Kelantan, Dali Omar turut senada dengan Tengku Abdullah dengan memberitahu, ’kuasa wang’ tidak dapat memberikan manfaat untuk membangunkan bola sepak negara.

Jelasnya, beliau berharap FAM akan tampil lebih tegas dalam isu 'pusingan U' dengan memperkenalkan satu undang-undang yang lebih ketat.

“FAM dan persatuan negeri atau kelab tidak salah. Persatuan hanya mahu mendapatkan khidmat pemain-pemain terbaik.

“Namun, jika pasaran pemain tidak dijaga dengan elok, berlakulah satu isu baharu iaitu 'pemain melebihi harga sebenar (overprice).

“Jika boleh biarlah sepadan dengan harga. Pemain-pemain kita harus tahu standard dan harus bersikap lebih jujur serta tidak boleh mengejar duit sahaja.

“FAM perlu buat satu garis panduan lebih ketat berhubung pemain yang didapati melanggar kontrak,” katanya.

RUJUKAN KOSMO ONLINE 26.12.13

No comments:

Post a Comment