Ad

Tuesday 31 December 2013

Prestasi pelajar luar bandar meningkat

MARAN 30 Dis. - Usaha kerajaan dalam merapatkan jurang pendidikan pelajar luar bandar menunjukkan peningkatan apabila jumlah pelajar cemerlang kawasan itu kini hampir menyamai mereka di luar bandar.

Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abd. Muttalib berkata, perkara itu dapat dilihat dengan pencapaian murid dan pelajar yang menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menurut beliau, pencapaian berkenaan membuktikan bahawa pendidikan negara berada pada tahap kelas antarabangsa hasil pelaburan besar kerajaan dalam sektor tersebut.

"Kejayaan itu juga turut disokong dengan komitmen tinggi pelbagai pihak termasuk guru, wakil rakyat dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

"Taraf penyediaan mutu pendidikan terbaik itu secara tidak langsung menyaksikan negara ini menjadi tumpuan serta destinasi pelancongan pendidikan popular di dunia khususnya dari Asia dan benua Afrika," katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada pelajar cemerlang yang memperoleh 5A dalam UPSR serta 7A dan 9A bagi PMR di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, di sini hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata, sebagai pelajar cemerlang, penetapan matlamat amat penting dalam menentukan hala tuju pembelajaran yang menjadi perintis kepada kejayaan yang lebih besar.

Beliau juga mengingatkan pelajar khususnya beragama Islam supaya menetapkan matlamat selari dengan tuntutan agama dan syariat.

"Matlamat yang ditetapkan perlu seiring dengan penetapan sasaran yang akan menjurus kepada terlaksananya matlamat tersebut," katanya.

SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Pahang/20131231/wp_03/Prestasi-pelajar-luar-bandar-meningkat#ixzz2p6Cyxe1q © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment