Orang Melayu kena bersaing
dengan bangsa lain menjadi individu cemerlang
Baru-baru ini saya
dikunjungi oleh seorang tetamu yang baharu sebulan menerima status kerakyatan
Malaysia dan melepaskan kewarganegaraan Singapura sebaik beliau bersara daripada
perkhidmatan awam negara itu walaupun anaknya terus kekal menjadi rakyat
Singapura.
Beliau merafakkan
kesyukuran yang tidak terhingga diterima menjadi rakyat Malaysia selepas lebih
50 tahun menjadi rakyat Singapura dan mencurah bakti sebagai seorang pendidik
di negara pulau itu. Secara sinis dan sebagai manifestasi kesetiaannya kepada
negara baharunya, beliau memaklumkan kepada saya bahawa beliau kini menyokong
pasukan Harimau Muda berbanding Young Lions dalam Sukan SEA yang lalu.
Suara yang berkaitan
dengan hak orang Melayu akan terus saja dilabelkan sebagai perkauman sempit,
manakala yang berkaitan dengan hak kaum lain akan disifatkan sebagai hak asasi
manusia”
Selain mengagumi
kemakmuran yang ada dalam negara kita ini, beliau amat berbangga dengan
pencapaian negara kita, tetapi melahirkan kebimbangan jika orang Melayu
Malaysia terus duduk dalam zon selesa dan hanya mampu menjadi penonton dalam
kepesatan pembangunan negara.
Kebimbangan yang
disuarakan oleh seorang yang pernah menjadi rakyat Singapura terhadap masa
depan orang Melayu Malaysia ini sangat berasas dan tidak mustahil nasib Melayu
Singapura yang semakin terpinggir akan turut berlaku kepada orang Melayu di
negara kita.
Kedudukan agama Islam
dipersoal
Sejak kebelakangan ini,
orang Melayu dan umat Islam kelihatan agak lemas menangani asakan tanpa henti
daripada pelbagai disiplin kehidupan. Kelihatan kedudukan agama Islam sebagai
Agama Persekutuan sudah mula dipersoalkan mereka yang menuntut kesamarataan
agama.
Saki-baki hak keistimewaan
orang Melayu yang tinggal pula mahu digantikan dengan hak kesamarataan atas
alasan keadilan, begitu juga dalam soal pembinaan rumah ibadat. Malah, kalimah
Allah yang digunakan secara eksklusif oleh orang Islam di negara ini pun hendak
digunakan oleh agama lain.
Senario seumpama ini jelas
menekan orang Melayu. Suara yang berkaitan dengan hak orang Melayu akan terus
saja dilabelkan sebagai perkauman sempit, manakala yang berkaitan dengan hak
kaum lain akan disifatkan sebagai hak asasi manusia.
Terkadang menjadi suatu
yang dianggap berdosa hinggakan seseorang boleh kehilangan pangkat dan
jawatannya hanya kerana mengingatkan khalayaknya akan sejarah penubuhan negara
ini.
Sedangkan kita tahu
sementara orang Melayu terus mendapat nikmat dalam bumi ini, kaum lain pun
turut sama menuai hasil tanpa perlu berasa takut atau dianaktirikan. Tentu saja
kita boleh meneliti statistik penganugerahan status warga negara yang
dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara sejak merdeka yang jelas
menunjukkan betapa ramai kaum bukan Melayu menikmati anugerah ini.
Melayu kian hilang jati
diri
Tahun demi tahun, orang
Melayu kian hilang jati diri yang menjadi asas keutuhan sesuatu kaum. Tentunya
orang Melayu tidak boleh hanya menyalahkan orang lain semata-mata. Orang Melayu
perlu segera dikejutkan dan keluar dari zon selesa di tanah air sendiri. Satu
masalah lazim yang ada bagi penduduk asal sesebuah negara adalah kegagalan
mereka untuk keluar daripada kepompong keselesaan hingga mengakibatkan mereka
menjadi lemah.
Apabila kita meneliti satu
demi satu peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan, kita akan dapati bahawa
tidak ada satu pun dalam peruntukan tersebut merujuk kepada terma Ketuanan
Melayu. Apa yang dimaktubkan adalah hak keistimewaan orang Melayu. Sedikit hak
keistimewaan yang ada ini sebenarnya sudah mencukupi untuk menjadi pemangkin
kepada kebangkitan sebuah bangsa Melayu yang hebat.
Sebaliknya, hak
keistimewaan ini tidak boleh lagi menjadi gula-gula bagi memapah bangsa Melayu
kerana perlindungan melalui penguatkuasaan perundangan tidak akan selamanya
boleh menjadikan bangsa Melayu menjadi bangsa yang kuat. Malah, ia boleh
mengakibatkan orang Melayu dilihat sebagai kaum majoriti dengan suara minoriti.
Dalam banyak keadaan,
penguasaan ekonomi dan kuasa wang boleh saja meruntuhkan tembok dan pagar yang
dibina bagi melindungi orang Melayu apatah lagi kita hidup dalam zaman yang
mana kuasa wang diletakkan sebagai keutamaan paling tinggi dalam kehidupan
kita.
Tetamu itu seterusnya
mengingatkan saya bahawa mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa Perkara 152
dalam Perlembagaan Republik Singapura menyatakan bahawa hak istimewa orang
Melayu yang dirujuk oleh Perlembagaan itu sebagai ‘penduduk asal negara
Singapura’ hendaklah dijamin oleh pemerintah negara republik itu.
Pemerintah Singapura
mempunyai tanggungjawab undang-undang untuk memastikan bahawa orang Melayu
sebagai penduduk asal Singapura dapat mempertahan dan meningkatkan kedudukan
politik, ekonomi, pelajaran, agama Islam dan sosio budaya kaum Melayu. Sambil
mengakui bahawa ia mungkin tidaklah begitu ketara, namun orang Melayu Singapura
sehingga kini masih mendapat keistimewaan dalam hal bayaran pelajaran dan
beberapa keistimewaan lain.
Melayu kena berusaha untuk
bersaing
Sama ada orang Melayu
Singapura benar-benar mendapat keistimewaan itu bukanlah persoalan utama,
tetapi apa yang penting adalah melalui Perlembagaan itu, sebuah negara yang
diperintah oleh pemerintah majoriti kaum Tionghua masih mengiktiraf orang
Melayu sebagai penduduk asal negara berkenaan. Untuk itu, dokumen perundangan
tertinggi negara itu memperuntukkan bahawa keistimewaan kepada penduduk asal
hendaklah dikekalkan.
Bagaimanapun, masa depan
orang Melayu Singapura sama juga dengan orang Melayu di Malaysia, bukan lagi
ditentukan oleh perlindungan Perlembagaan, tetapi lebih utama adalah cara
bagaimana mereka mampu bersaing menjadi individu yang cemerlang dengan bangsa
lain.
Segmentasi bangsa masih
diperlukan dalam negara kita bagi menentukan status maju mundurnya ekonomi,
sosial dan pendidikan warga negaranya. Semua orang yang menerima hidayah Allah
boleh memeluk agama Islam, tetapi tidak ada orang yang boleh menjadi Melayu
atau Cina atau kaum apa sekalipun. Kita memang ditakdirkan untuk lahir sebagai
seorang Melayu.
Pengakuan sesuatu bangsa
itu sepatutnya tidaklah menjadi halangan untuk kita saling mengenali dan
berbaik-baik sesama kaum. Tidak dapat dinafikan bahawa sebagai sebuah negara
merdeka, kerajaan perlu mengambil berat agenda pembangunan semua kaum yang ada
dalam negara kita.
Pada masa sama, potensi
yang ada pada setiap warga negara perlu terus diasah tanpa membezakan warna
kulit bagi memastikan potensi yang ada dapat membantu menaikkan martabat negara
kita. Begitupun, ini bukan pula bermakna bahawa peruntukan yang menjadi teras
dalam Perlembagaan Persekutuan tidak lagi penting.
Masalahnya, ialah apabila
ada segelintir rakyat yang menjuarai hak sama rata dengan semua kaum sedangkan
peruntukan yang khusus berkaitan Melayu dan status Agama Islam seolah-olah
dikesampingkan pula. Masanya sudah tiba untuk kita lebih menitikberatkan
pemahaman setiap warga negara akan teras pembinaan negara ini.
2013 akan melabuhkan
tirainya, manakala 2014 akan menjelma dengan harapan orang Melayu akan bangkit
daripada kealpaan lalu bingkas memperkukuhkan penyatuan dalam talian agama
Islam tanpa mengira fahaman politik bagi menjadi tiang seri negara ini.
Penulis ialah peguambela
dan peguamcara
BERITA HARIAN ONLINE
30.12.13
No comments:
Post a Comment