Oleh YATIMIN ABDULLAH -utusankelantan@utusan.com.my
KOTA BHARU - Bintang baharu The Red Warriors, Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria meminta penyokong-penyokong setia pasukan itu supaya tidak membandingkannya dengan bekas pemain tengah pasukan itu, Indra Putra Mahyuddin yang beralih angin ke Felda United pada musim depan.
Bekas tonggak Harimau Muda A itu berkata, dia hanya mahu memberikan aksi terbaik sepanjang saingan Liga M tahun hadapan yang akan bermula 18 Januari ini.
Menurut Wan Zaharul, dia berharap penyokong setia The Red Warriors memberikan sokongan padu dan tidak membuat perbandingan antaranya dengan tonggak Felda United itu.
"Jangan bandingkan saya dengan Indra. Gaya permainan antara saya dan Indra Putra sudah pasti berbeza. Saya berharap penyokong pasukan ini tidak membandingkan saya dengan kehebatannya.
"Sebagai pemain muda, saya cukup mengagumi pengalaman dimiliki Indra Putra Mahayuddin kerana dia telah berjaya membawa Kelantan memenangi pelbagai kejuaraan sejak lima tahun lalu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Wan Zaharul Nizam atau lebih dikenali dengan 'Kecik' memberitahu, dia teruja dpat menabur bakti bersama Kelantan biar pun sebelum ini dilaporkan mahu kekal bersama Harimau Muda A untuk tempoh semusim lagi.
Anak kelahiran Wakaf Bharu, Tumpat itu berkata, dia juga mahu berkongsi pengalaman sepanjang bersama skuad pelapis negara itu dengan meraih kejuaraan buat Kelantan pada musim depan.
"Memang menjadi matlamat asal saya untuk kembali ke pangkuan negeri ini. Alhamdulillah ia tercapai dan saya tidak sabar-sabar untuk beraksi bersama Kelantan sebaik sahaja tirai Liga M dibuka.
"Namun tiada istilah tempat saya terjamin dalam pasukan ini biar pun saya berasal dari pasukan Harimau Muda A.
"Saya kena berusaha lebih keras dan bersaing dengan pemain-pemain lain bagi merebut posisi itu," ujarnya.
Kecik antara muka baharu yang dibawa masuk oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) bagi memperkuatkan pasukan untuk menghadapi saingan musim hadapan.
Kemasukan pemain itu dijangka mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh tonggak berpengalaman, Indra Putra yang beraksi bersama Felda United.
RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131230/su_05/Jangan-bandingkan-saya-dengan-Indra#ixzz2ouMhVXle
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment