Ad

Tuesday, 31 December 2013

Wajah baharu Selangor mula langkah kanan

KUALA LUMPUR - Selangor yang dahulu, bukan yang sekarang. Jika sebelum ini ramai peminat setia Red Giants melahirkan kebimbangan terhadap arah tuju pasukan itu selepas penghijrahan beramai-ramai pemain utama dan pemergian bekas jurulatih, Irfan Bakti, kemungkinan ia memberi hikmah tersendiri bagi saingan musim 2014.

Dimulai dengan pengambilan bekas pemain import Selangor pada era 90-an, Mehmet Durakovic sebagai jurulatih baharu dan kehadiran beberapa pemain seperti Ahmad Hazwan Bakri, A. Thamil Arasu dan Azmi Muslim, Selangor tampak mampu menjadi salah satu pencabar digeruni.

Kemenangan 2-1 ke atas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam perlawanan persahabatan di Stadium Mini TUDM Subang, semalam menceritakan yang Red Giants berada dalam landasan tepat untuk bangkit.

Durakovic menjadi individu paling gembira dengan kejayaan tersebut yang dianggap sebagai suntikan moral terbaik kepada pasukannya ketika saingan Liga Malaysia tinggal kurang tiga minggu lagi akan bermula.

''Keserasian antara pemain semakin baik dalam setiap perlawanan yang kami lalui dan ia dibuktikan pada perlawanan ini, segalanya tampak menjadi di setiap bahagian.

''Perkembangan ini cukup mengejutkan kerana walaupun sebahagian besar terdiri daripada ramai muka baharu, itu bukan menjadi halangan buat mereka untuk cepat mengenali corak permainan antara satu sama lain.

''Biarpun kami tidak mempunyai pemain bintang tetapi semangat kerjasama berpasukan yang ditunjukkan oleh setiap pemain terutama tonggak-tonggak muda bakal menjadi senjata utama buat pasukan, " kata Durakovic.

Selangor mendahului 2-0 pada babak pertama melalui Junior Guimaro pada minit ke-30 hasil rembatan jarak jauh sebelum bekas penyerang Perak, Paulo Rangel menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-43.

Marlon Alex James merapatkan jurang buat ATM pada minit ke-85 namun sudah terlambat untuk menghalang kemenangan Selangor.

Dalam masa sama, Durakovic mengingatkan Selangor belum menunjukkan kekuatan sebenar kerana seorang lagi pemain import, Andik Vermansyah belum lagi turun beraksi kerana masih dilanda kecederaan.

RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140101/su_08/Wajah-baharu-Selangor-mula-langkah-kanan#ixzz2p68NhMIG © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment