Ad

Tuesday, 31 December 2013

'Saya mahu pecah rekod'

 Ole FERZALFIE FAUZI-ferzalfie.fauzi@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Usia bukan penghalang. Di mana ada kemahuan di situ ada jalan, itulah azam baharu pemain badminton perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei apabila memulakan episod 2014 selepas dia berjaya memenangi tujuh gelaran Siri Super tahun lalu.

Hari ini adalah permulaan untuk 2014 dan Chong Wei juga akan menjangkau usia 32 tahun Oktober depan, namun dia mempunyai misi tersendiri yang mungkin tidak terdaya untuk dilakukan oleh pemain badminton lain baik di Malaysia ataupun luar dari negara ini.

Biarlah orang mengherdik bahawa dia hanya menumpukan kejohanan Siri Super berbanding seteru dari China, Lin Dan yang memenangi kejohanan utama, tetapi Chong Wei mempunyai matlamat dan cita-citanya sendiri.

Selepas segar dengan kejuaraan Super Siri Premier Terbuka Korea, Siri Super Terbuka Malaysia, Siri Super Terbuka India, Siri Super Premier Terbuka Indonesia, Siri Super Terbuka Jepun, Siri Super Hong Kong dan Siri Super Akhir di Kuala Lumpur tahun ini, pada 2014 dia mahu lebih banyak kejuaraan dapat diraih termasuk Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Piala Thomas.

"Saya harap dapat meraih banyak kejuaraan tahun depan. Tahun ini kali pertama saya berjaya meraih tujuh gelaran Siri Super," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Jelasnya, sepanjang karier menjadi pemain badminton negara, dia tidak pernah merangkul sehingga tujuh gelaran Siri Super, manakala Lin Dan pula hanya meraih paling banyak gelaran Siri Super sebanyak lima kali pada 2007 dan 2011.

"Saya tetap mengutamakan kejohanan besar yang berlangsung empat tahun sekali, terutama Sukan Asia (Incheon) dan Sukan Komanwel (Glasgow).

" Saya rasa ini adalah penampilan terakhir saya untuk kedua-dua temasya tersebut, kerana empat tahun selepas itu mungkin saya sudah bersara.

"Saya juga tetap akan fokus Piala Thomas tahun ini, ia juga adalah penampilan terakhir saya di kejohanan ini," katanya yang baharu sahaja meraih gelaran Siri Super Akhir di Stadium Badminton Cheras bulan lepas.

Ditanya mengenai aksinya di Kejohanan Dunia, pemain kelahiran Bukit Mertajam itu berkata, beliau memang mahu menamatkan kemarau meraih kejuaraan di kejohanan tersebut tetapi jika gagal untuk muncul juara pada 2014, beliau merasakan mampu untuk mencubanya pada 2015 dan 2016.

"Kejohanan Dunia saya masih lagi boleh beraksi satu ada dua kali lagi, apa pun saya harap pada 2014 ini saya mampu menjaga kesihatan saya, di kesempatan ini saya juga mahu mengucapkan Selamat Tahun Baharu buat seluruh rakyat Malaysia," katanya yang tewas kepada Lin Dan dalam perlawanan akhir Kejohanan Dunia 2013 Guangzhou Ogos lalu.
SUMBER RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140101/su_02/Saya-mahu-pecah-rekod#ixzz2p64wG9Yx © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment