Ad

Saturday, 28 December 2013

Jing Yi mara ke separuh akhir

Tee Jing Yi
PUTRAJAYA - Pemain perseorangan wanita negara, Tee Jing Yi mengakui lawannya pada aksi separuh akhir Kejohanan Badminton Sirkit Kebangsaan Peringkat Akhir 2013 hari ini mampu menjadi penghalang untuknya melangkah ke pentas akhir buat kali kelima berturut-turut.

Jing Yi yang meraih kemenangan 21-19, 12-21, 21-15 pada aksi terakhir peringkat Kumpulan A menewaskan Lim Yin Fun di Kompleks Kejiranan Presint 11 di sini, semalam dijadual bertemu Lim Chiew Sien pada aksi separuh akhir.

Kata Jing Yi, dia sudah sebulan tidak melihat corak permainan Chiew Sien sekali gus sukar untuk menilai kelemahan lawannya itu.

Malah, penyandang juara perseorangan wanita kejohanan itu, turut berpendapat aksi separuh akhir dijangka berlangsung sengit selain memerlukannya bekerja lebih keras andai mahu memenangi perlawanan hari ini.

"Biarpun sudah tiga kali menjuarai kejohanan ini namun saya tidak boleh pandang mudah pihak lawan yang mempunyai kekuatan tersendiri.

"Selepas sebulan tidak bertemunya (Chiew Sien) saya percaya prestasi dia sudah meningkat dengan baik dan telah menjadi pemain yang hebat," kata Jing Yi.

Jing Yi telah empat kali melangkah ke saingan akhir kejohanan tersebut sejak 2009 hingga 2012 dan telah tiga kali menjuarainya iaitu pada 2009, 2010 serta tahun lalu.

Sementara itu, Jing Yi turut memberitahu kejohanan tumpuannya selepas ini ialah untuk beraksi pada Piala Uber 2014.

"Bagi membolehkan saya beraksi pada Piala Uber tahun depan saya perlu mendapatkan lebih banyak mata untuk memperbaiki kedudukan ranking dunia kerana kelayakan dinilai berdasarkan ranking yang baik.

"Saya juga akan berusaha untuk mendapatkan mata ranking untuk ke Piala Uber menerusi Kejohanan Terbuka Korea Selatan pada tahun depan," kata Jing Yi.

RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131229/su_03/Jing-Yi-mara-ke-separuh-akhir#ixzz2ooclyKjU © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment