Ad

Sunday 29 December 2013

FAM dedah jika ada rayuan

FAM dedah jika ada rayuan
 
 Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my

AMIRULHADI keluar dari bilik selepas menghadap Jawatankuasa Status FAM di Wisma FAM, Kelana Jaya Jumaat lalu.

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) belum bersedia mendedahkan kepada umum mengenai polemik yang tercetus angkara bekas pemain Pahang, Amirulhadi Zainal.

Jumaat lalu, Jawatankuasa Status Pemain FAM memutuskan Amirulhadi sah menjadi milik Johor Darul Takzim (Johor DT).

Sebelum itu, Amirulhadi, 27, dikatakan telah menandatangani kontrak dua tahun bersama Persatuan Bola sepak Negeri Pahang (PBNP) tetapi telah mengejutkan ramai pihak apabila diperkenalkan sebagai pemain baharu Johor DT bagi musim depan.

Bagaimanapun, Jawatankuasa Status FAM yang bermesyuarat Jumaat lalu mendapati kontrak Amirulhadi dengan PBNP meragukan.

Begitupun, jawatankuasa berkenaan yang dipengerusikan oleh Datuk Takiyuddin Hassan tetap mengenakan denda RM25,000 terhadap Amirulhadi.

Keputusan tersebut ternyata mendapat pelbagai reaksi berbeza dalam kalangan peminat dan pemerhati bola sepak tanah air.

Antara paling lantang menyelar keputusan yang dibuat Jawatankuasa Status FAM itu ialah legenda bola sepak kebangsaan, Khalid Ali.

Secara terbuka, Khalid menyifatkan hukuman itu merupakan 'lawak' paling kelakar yang dilakukan FAM tahun ini.

Ketika diminta sekali lagi mengulas lebih lanjut berkenaan kontrak yang ditandatangani Amirulhadi dengan PBNP meragukan, Takiyuddin menjawab: "Keraguan timbul jika terdapat beberapa elemen tertentu berdasarkan Peraturan Status FAM.

"Namun, saya hanya boleh mendedahkan perkara itu kepada Jawatankuasa Rayuan," katanya kepada Kosmo! semalam.

Bagaimanapun, usaha Kosmo! untuk mendapatkan ulasan lanjut daripada Setiausaha Agung PBNP, Fuzzeimi Ibrahim mengenai isu berkenaan gagal kerana beliau tidak dapat dihubungi.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan hukuman itu masih boleh mengemukakan rayuan masing-masing selewat-lewatnya Rabu ini.

"Masih ada tiga hari (sehingga Rabu)... jika pemain itu (Amirulhadi), PBNP mahupun PBNJ (Persatuan Bola Sepak Negeri Johor) tidak berpuas hati dengan hukuman itu, mereka masih boleh mengemukakan rayuan," jelas Takiyuddin.

Beliau juga menafikan pihaknya mengambil tindakan tersebut berpunca daripada tekanan pihak tertentu sehingga menyebabkan Amirulhadi seolah-olah 'terlepas' daripada dikenakan hukuman yang lebih berat.

"FAM ada peraturan, jadi sebarang spekulasi (tekanan pihak tertentu) hanyalah tuduhan melulu yang tidak berasas," jelas beliau.

No comments:

Post a Comment