Ad

Tuesday 31 December 2013

Empat pelajar cemerlang dapat anugerah khas

 
ROSDI Ismail (dua dari kanan) sambil diperhatikan oleh Ismail Mohamed Said (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada Nurhanis Anis Fadzilah di SMK Kuala Krau, Pahang, baru-baru ini.
KUALA KRAU 31 Dis. - Empat pelajar, termasuk Orang Asli dan orang kurang upaya (OKU) merupakan antara 416 pelajar cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang menerima anugerah kecemerlangan pendidikan Parlimen Kuala Krau di sini baru-baru ini.

Mereka menerima hadiah berupa wang tunai dan sijil yang disumbangkan oleh Yayasan Pahang (YP) dan UMNO Bahagian Kuala Krau dengan nilai keseluruhan RM51,900 dalam majlis yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Krau.

Pelajar Orang Asli, Nurzimah Sabaruddin, 15, menerima Anugerah Khas Parlimen Kuala Krau apabila memperoleh 7A dalam PMR tahun ini.

Nurzimah yang bersekolah di SMK Kuala Krau dan tinggal di Kampung Pasu merupakan antara calon anak Orang Asli terbaik peringkat kebangsaan.

Seorang pelajar OKU, Norhanis Arif Fadzilah, 15, yang mendapat 6A dalam PMR turut menerima anugerah tersebut.Dua pelajar SMK Jengka 18, Noratikah A. Aziz, 15, dan Siti Syamila Anis Md. Salleh, 15, yang memperoleh 8A juga menerima anugerah tersebut yang disampaikan oleh Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said.

Ismail ketika ditemui berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) telah meletakkan asas pendidikan terbaik kepada rakyat melalui bajet tahunan.

"Infrastruktur pendidikan negara adalah antara yang terbaik di dunia dan patut dimanfaatkan sebaik mungkin oleh rakyat kerana perkara itu menjadi asas kepada kejayaan akademik," katanya.

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jenderak, Datuk Mohamad Jaafar dan Pengarah Pelajaran Pahang, Rosdi Ismail.

SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Pahang/20140101/wp_02/Empat-pelajar-cemerlang-dapat-anugerah-khas#ixzz2p6BKUhwX © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment