Ad

Monday 30 December 2013

Amirulhadi mahu lupakan kontroversi

JOHOR BAHRU - Biarpun dihimpit kontroversi termasuk didenda RM25,000 kerana melanggar Peraturan Status dan Perpindahan Pemain Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), bekas bintang tengah skuad Pahang, Mohd. Amirulhadi Zainal tetap berazam memberi aksi terbaik bersama pasukan baharu, Johor Darul Ta'zim (JDT) musim ini.

Dia berjanji akan meningkat usaha, sekali gus bertekad untuk membantu JDT membawa pulang sekurang-kurangnya satu piala dalam saingan musim ini.

"Saya akur dengan keputusan FAM itu kerana semua sudah ditentukan. Biarpun begitu ada perkara yang perlu saya utamakan sekarang iaitu saya berjanji akan tingkatkan usaha untuk pasukan baharu yang saya sertai kini," katanya yang ditemui selepas perlawanan persahabatan menentang Hougang United di Stadium Larkin, kelmarin.

Dalam aksi persahabatan tersebut, JDT membenam Hougang United dengan jaringan 3-0.

Menurut Amirulhadi, peluang beraksi bersama pasukan baharu kelmarin sedikit sebanyak membantunya mencari titik keserasian, sekali gus membentuk persefahaman yang lebih jitu.

Ditanya tentang corak latihan antara pasukan lama dan baharu, Amirulhadi mengakui sememangnya ada perbezaan termasuk dari segi taktikal, namun perkara itu bukan masalah besar baginya.

"Ada perbezaan dari segi taktikal tapi kami semua okay dan tiada masalah. Insya-Allah, apa yang jurulatih ajar, saya akan cuba lakukan dengan terbaik," katanya.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Persatuan Bola Sepak Pahang (PFA) mengemukakan rayuan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung kes Amirulhadi.

"Kami sudah mengemukakan rayuan kepada FAM, Jumaat lalu. Kami tidak gembira dengan keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Tataterbin FAM," kata Pengerusi Jawatankuasa Disiplin PFA, Rizal Chek Hashim.

SUMBER RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131231/su_03/Amirulhadi-mahu-lupakan-kontroversi#ixzz2p0GHmHvf © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment