GAMBAR pada 1965 menunjukkan
gajah bernama 'Awang' dan 'Zimbo' yang menjadi antara haiwan-haiwan terawal
dipamerkan.
DIAPIT kehijauan pemandangan
Taman Tasik Taiping dan beberapa lokasi bersejarah di sekitarnya, Zoo Taiping
boleh diumpamakan sebagai 'pusat' aktiviti pelancongan di bandar Taiping,
Perak.
Bahkan tidak keterlaluan untuk
mengatakan kunjungan ke bandar moden tertua negara itu tidak lengkap tanpa
menjejakkan kaki ke taman haiwan yang terletak di utara tanah air tersebut.
Dibangunkan di atas tapak hutan
seluas 13.7 hektar, Zoo Taiping yang mempunyai populasi kira-kira 1,500 haiwan
daripada 160 spesies menawarkan pengalaman melihat hidupan liar terbaik di
negara ini.
Walaupun dikenali sebagai
tarikan utama di bandar bekas pusat pentadbiran Inggeris itu, masih ramai yang
tidak menyedari keistimewaannya sebagai zoo pertama di negara ini.
Dalam konteks sejarah,
kewujudannya berada sebaris dengan 10 binaan dan kemudahan awam pertama
Malaysia yang terdapat di Taiping antaranya landasan kereta api, muzium,
hospital, penjara dan bangunan telegraf.
Ditubuhkan pada 1962, Zoo
Taiping atau nama asalnya Taman Mergastua Sultan Idris Shah diwujudkan sebagai
pusat pengumpulan spesimen haiwan-haiwan terancam.
Selain itu taman hidupan liar
itu turut digunakan oleh Kerajaan Negeri Perak sebagai 'alat' untuk
meningkatkan kesedaran umum tentang ancaman kepupusan haiwan akibat pemburuan
haram.
Penubuhan taman haiwan itu
diilhamkan oleh Tan Sri Saw Huat Lye yang ketika itu memegang jawatan Pengerusi
Majlis Bandaran Taiping.
Pelan jangka masa panjang
beliau pada waktu itu adalah untuk menghidupkan sebuah taman haiwan yang mampu
menjadi tarikan kepada orang ramai sekali gus menjadi penyumbang pendapatan
kepada Lembaga Pengurusan Kerajaan Tempatan.
Selepas cadangan pembinaannya
diluluskan oleh bekas Menteri Besar Perak iaitu Datuk Shaari Shafie pada April
1962, taman haiwan tersebut menerima peruntukan pembinaan pertama berjumlah
RM70,000.
Bagi menjayakan usaha itu,
sebuah jawatan kuasa zoo iaitu Jawatankuasa Taman Binatang ditubuhkan bagi
melaksanakan tanggungjawab pengurusan dan antara tugas-tugas terawal adalah
untuk mengisi taman tersebut dengan haiwan-haiwan liar dan juga domestik.
Antara usaha pertama yang
dilakukan adalah permohonan untuk mendapatkan dua ekor gajah dari Gerik kepada
kerajaan negeri.
Selain itu, pihak Majlis
Bandaran Taiping turut berusaha mendapatkan dua ekor Orang Utan dari Kerajaan
Singapura yang dirampas atas kesalahan pemeliharaan secara haram oleh rakyat
negara itu.
Pada 31 Mei 1962, Majlis
Bandaran Taiping meneruskan usaha menambah koleksi haiwan di taman berkenaan
dengan membuat permohonan bagi mendapatkan sepasang rusa dari Penolong Pegawai
Jajahan Selama, Perak.
Seterusnya pada bulan Jun tahun
yang sama, permohonan turut dibuat kepada Raja Muda Perak untuk mendapatkan
sepasang angsa hitam dan putih daripada Pesuruhjaya Tinggi Australia.
Pada peringkat awal
penubuhannya, taman haiwan tersebut menempatkan kira-kira 20 sangkar yang
berukuran 10 meter panjang dan lima meter lebar bagi menempatkan rusa, landak,
ikan, ular, burung dan babi hutan.
Dua tahun selepas pembinaan,
taman haiwan itu dibuka secara rasmi kepada orang ramai pada 7 Mac 1964 dengan
nama Taman Mergastua Sultan Idris Shah.
Majlis perasmian disempurnakan
oleh Sultan Idris Al-Mutawakkil Alallahi Shah Sultan Iskandar Shah Kadasallah.
Pembukaan Taman Mergastua
Sultan Idris Shah pada tahun pertama mendapat sambutan yang cukup menggalakkan.
Bayaran masuk yang dikenakan pada waktu itu adalah 30 sen untuk dewasa, 20 sen
untuk kanak-kanak dan 10 sen untuk pelajar sekolah.
Pada 1965, penantian pihak
pengurusan zoo untuk mendapatkan dua ekor gajah beserta dua orang penggembala
berakhir.
Dua ekor gajah dari Gerik iaitu
Awang dan Zimbo melangkah masuk sebagai penghuni tetap di Taman Mergastua
Sultan Idris Shah sekali gus menjadi tarikan utama kepada pengunjung.
Populariti Taman Mergastua
Sultan Idris Shah meningkat secara mendadak sekitar pertengahan 1970-an apabila
jumlah pengunjung meningkat daripada 149,000 pada 1970 kepada lebih 220,000
pada 1974.
Pada masa kini, Zoo Taiping
merekodkan jumlah pengunjung sehingga 750,000 orang setiap tahun termasuk
150,000 pengunjung yang mengikuti keunikan program Safari Malamnya.
RUJUKAN:
http://www.utusan.com.my/utusan/Laporan_Khas/20131228/lk_02/Koleksi-haiwan-terawal-Zoo-Taiping#ixzz2oogTV6ai
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment