30 Disember 2013
Guru jelajah benua Afrika
dengan kapcai Mohammad Lasim Deraman, 47, (dua, kanan) bergambar kenangan
dengan masyarakat Afrika selepas tiba di Palapye, Bostwana. - Foto Bernam
GEORGETOWN - Seorang guru
membuktikan dengan semangat 'Malaysia Boleh' segalanya mungkin termasuk
menjelajah benua Afrika dalam tempoh 42 hari dengan menunggang kapcai
(motosikal 110cc) seorang diri.
Atas inisiatif sendiri,
Mohammad Lasim Deraman, 47, memulakan perjalanan sejauh lebih 10,000 kilometer
pada 15 Nov lepas di Cape Point iaitu kawasan paling selatan di benua Afrika,
dan merentasi antaranya Tanzania, Bostwana, Zambia sebelum mengakhirinya di
Mount Kenya, gunung kedua tertinggi di benua itu.
"Saya pilih benua
Afrika kerana keadaan geografinya yang mencabar dengan kawasan pergunungan,
danau, sungai dan gurun yang saya rasa punya rahsia tersendiri," katanya
dalam sidang media, di sini hari ini.
Guru pendidikan khas di
sebuah sekolah menengah di Cheras, Kuala Lumpur itu berkata sebelum ini beliau
pernah bermotosikal menjelajah seluruh pulau Borneo serta kepulauan Indonesia.
Menceritakan pengalamannya
sepanjang jelajah di benua kedua terbesar dunia itu, Mohammad Lasim berkata
antara yang membanggakannya ialah nama bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir
Mohamad begitu dikenali oleh masyarakat di sana.
Mereka cukup gembira
apabila diminta bergambar bersama bendera Malaysia, kata anak jati Kota Baharu,
Kelantan itu.
Menurut Mohammad Lasim,
pada awalnya beliau merancang ke tanah suci Makkah melalui Nairobi, selepas
tiba di Moyale (bandar di sempadan Ethiopia dan Kenya) pada hari ke-34, namun
terpaksa membatalkan hasrat kerana berlaku perang saudara di Nairobi.
"Kedutaan juga
menasihatkan saya berpatah balik kerana pertempuran melibatkan pertumpahan
darah dan sangat berbahaya," katanya.
Usai jelajahnya di benua
Afrika, guru itu tidak terus pulang ke tanah air.
Sebaliknya beliau
menghantar kapcainya ke Thailand dan mengambil keputusan menjelajah negara
Gajah Putih berkenaan yang dicapainya dalam tempoh tiga hari.
Beliau kemudian menunggang
ke selatan Thai dan memasuki negara ini pada 26 Disember lalu menerusi Bukit
Kayu Hitam sebelum ke sini untuk bertemu rakan-rakan.
Ditanya mengenai tip bagi
yang berminat mengembara dengan kapcai, Mohammad Lasim berkata seseorang perlu
tahu penyelenggaraan asas motosikal seperti menampal tayar sebelum berbuat
demikian.
Mengembara dengan kapcai
ini suatu yang menarik kerana selain kos yang rendah juga memberi peluang kita
berinteraksi dengan masyarakat setempat, katanya yang seronok dapat melihat
kehidupan pelbagai etnik di Afrika termasuk etnik Zulu yang masih mengekalkan
tradisi mereka termasuk tinggal di dalam pondok jerami. – Bernama
SINAR HARIAN ONLINE
;30.12.13
No comments:
Post a Comment