Ad

Monday 30 December 2013

Wei Feng akhirnya juara

 
Chong Wei Feng (kanan) muncul juara kebangsaan selepas menumpaskan Tan Chun Seang dalam final Grand Prix Badminton Kebangsaan Akhir di Kompleks Kejiranan Presint 11, Putrajaya semalam. - UTUSAN/MOHD. AZIM ABD RAHMAN
PUTRAJAYA - Selepas sekadar muncul naib juara dalam dua penampilan terakhir, Chong Wei Feng puas kerana impian untuk bergelar juara kebangsaan akhirnya menjadi kenyataan apabila menundukkan pemain profesional, Tan Chun Seang dalam perlawanan akhir Grand Prix Badminton Kebangsaan Akhir, semalam.

Pemain No. 2 negara itu hanya memerlukan 34 minit untuk menundukkan Chun Seang 21-14, 21-9 di Kompleks Kejiranan Presint 11 bagi memenuhi hajat bergelar juara kebangsaan pada usia 26 tahun.

Biarpun dilihat muncul juara dalam usia yang agak 'lewat', namun pemain kelahiran Kedah itu menegaskan, adalah lebih baik menang daripada langsung tidak merasai nikmat kejuaraan.

"Saya tahu ini gelaran Grand Prix Kebangsaan pertama saya dan ramai yang bercakap, saya menang pada usia yang agak lewat, 26 tahun.

"Bagaimanapun pada saya, lebih baik terlewat daripada langsung tidak menang. Kemenangan ini juga menaikkan semula keyakinan saya selepas persembahan buruk pada Sukan SEA Myanmar, awal bulan ini," ujar Wei Feng, yang tersingkir seawal pusingan pertama kepada pemain Thailand, Avihingsanon Suppanyu.

Sementara itu dalam perkembangan lain, masa depan beregu campuran No. 1 negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dilihat menuju penghujung jalan selepas Liu Ying mendapati kecederaan lutut kanannya semakin teruk sebaik saja mendapat laporan pemeriksaan MRI (Magnetic Resonance Imaging).

"Keadaan lutut saya agak teruk, koyakan yang berlaku lebih besar daripada sebelum ini. Saya juga mengalami koyakan di lutut kiri.

"Saya akan mendapatkan nasihat daripada ISN (Institut Sukan Negara) dan tengok apa cara terbaik untuk menangani isu ini," ujar Liu Ying.

Tanpa Liu Ying, Peng Soon bergandingan dengan Lai Pei Jing dalam beregu campuran pada Grand Prix Kebangsaan Akhir dan kombinasi tersebut berjaya muncul juara.

SUMBER RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131231/su_02/Wei-Feng-akhirnya-juara#ixzz2p0B2hm5Y © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment