JAUH dalam kegelapan dasar laut
yang terselindung di beberapa lokasi rahsia di perairan negara ini, tersembunyi
beberapa khazanah misteri berusia ratusan tahun tanpa disedari sesiapa.
Selama beratus tahun itu
jugalah khazanah berkenaan terpegun melewati masa. Kehadirannya di dasar laut
yang asing itu sekadar menjadi mainan dan lokasi kediaman buat ribuan ikan dan
hidupan laut.
Sehinggalah kira-kira 30 tahun lalu, dengan
penuh persoalan yang membenih pada minda, beberapa penyelidik mula menyelam di
dasar lautan perairan negara bagi meneroka lokasi misteri khazanah berkenaan.
Selepas beberapa ketika mencari
pada pelbagai tempat di dasar laut, akhirnya penyelidik menemui satu bentuk
tinggalan aneh yang terdampar di dasar lautan luas itu.
Selepas diamati dan didekati,
akhirnya penyelidik terbabit menyedari bahawa di dasar Laut China Selatan dan
Selat Melaka di negara ini, tersimpan banyak warisan kapal karam purba yang
turut menenggelamkan bersamanya khazanah ‘harta karun’ yang tidak ternilai
harganya.
Pakar Arkeologi yang juga bekas
Ketua Pengarah Jabatan Muzium, Datuk Dr Adi Taha, berkata keadaan geografi dan
sejarah silam di Tanah Melayu menyebabkan ia memiliki banyak khazanah maritim
berupa kapal karam dan harta karun.
“Lokasi tanah air kita yang
strategik iaitu terletak di tengah jalan laut yang menghubungkan antara dunia
Timur dan Barat menyebabkan ia menjadi lokasi persinggahan pedagang, suatu
ketika dulu.
“Keadaan itu juga menyebabkan
Melaka menjadi terkenal sebagai satu daripada lokasi perdagangan pada abad
ke-15 dan jalan laut sekitar negara kita dipenuhi kapal dagang yang membawa
banyak harta atau barang dagangan,” katanya.
Beliau berkata, ada kapal yang
membawa barang dagangan berharga itu yang karam di perairan negara akibat
pelbagai sebab antaranya melanggar batu karang, dibedil dalam peperangan atau
dipukul ribut.
Seterusnya melewati masa sedari
zaman penjajahan Portugis, Belanda, British sehinggalah ke Jepun, semakin
banyak pula kapal yang membawa pelbagai harta karun, karam di dasar laut itu.
Harta karun yang ditemui dalam
kapal karam berkenaan bagaimanapun bukanlah berupa jongkong emas atau permata
sebaliknya tembikar, seramik, senjata, wang syiling lama selain pelbagai barang
dagangan pada zaman itu.
“Antara usaha terawal dalam
kerja mencari kapal karam di dasar laut dilakukan sekitar penghujung 1970-an
apabila Kerajaan Terengganu bersama Jabatan Muzium dan dibantu Tentera Laut
Diraja Malaysia (TUDM) menemui bangkai kapal karam tentera Jepun berhampiran
Chendering.
“Kapal itu karam kerana terkena
tembakan peluru berpandu dan tenggelam kira-kira 30 meter di dasar laut. Kerja
penyelaman dijalankan dan lakaran bentuk kapal itu berjaya dihasilkan,”
katanya.
Beliau berkata, antara penemuan
terbesar dalam kerja mencari kapal karam di dasar laut dicatat pada 1980
apabila bangkai kapal dagang ‘Risdam’ ditemui di perairan Mersing, Johor. Kapal
dagang milik Syarikat Hindia Timur Belanda (VOC) itu sudah berusia 253 tahun
dan ia didapati karam pada 1727.
‘Harta karun’ yang ditemui
dalam kapal itu adalah 90 gading gajah, kira-kira 100 jongkong timah dan dua
tembikar yang dibuat dari Thailand.
Beliau berkata, sehingga kini,
lebih 10 kapal karam sudah ditemui di perairan Malaysia dan selain Jabatan
Muzium, usaha mencari kapal itu turut membabitkan pihak swasta dan orang
perseorangan termasuk pencari harta karun.
Antara kapal karam yang ditemui
adalah:
Kapal ‘Nassau’ milik Belanda
ditemui pada kedalaman 27 meter dari paras laut berhampiran Port Dickson. Kapal
yang ditemui pada 1993 itu dipercayai karam dalam pertempuran ‘Tanjung Tuan’
antara Belanda dengan Portugis pada 1606. Antara harta karun yang ditemui dalam
kapal itu adalah senapang besi, meriam gangsa, kelengkapan pelayaran seperti
kompas, 1,000 syiling perak Sepanyol dan bekas minuman.
Kapal ‘Turiang’ yang dipercayai
dari China, tenggelam pada 1370 ditemui pada 1998 di perairan Johor. Ia
tenggelam pada kedalaman 42 meter dan seramik yang ditemui dalam kapal itu
masih berkeadaan baik.
Kapal ‘Nanyang’ yang juga
dipercayai dari China ditemui pada kedalaman 54 meter dari paras laut,
berhampiran perairan Johor. Kira-kira 400 seramik sudah dikeluarkan dari kapal
yang tenggelam pada 1380 dan ditemui semula pada 1995 itu.
Kapal ‘Royal Nanhai’ yang
tenggelam pada 1460 ditemui pada 1995 di kedalaman 46 meter dari paras laut,
kira-kira 40 batu nautika dari Pantai Timur. Sebanyak 21,000 seramik antaranya
buatan Thailand, China dan Vietnam ditemui di dalamnya.
Kapal ‘Longquan’ yang karam
sekitar 1390, ditemui semula pada 1996 pada kedalaman 63 meter dari paras laut
dan 23 batu nautika dari pantai Terengganu. Ia membawa seramik dari China dan
Thailand.
Kapal ‘Xuande’ yang karam pada
1540 ditemui pada kedalaman 53 meter dari paras laut dan jaraknya 34 batu
nautika dari pantai Pahang. Kapal yang ditemui pada 1996 itu membawa harta
karun berupa seramik dari China dan Thailand.
Kapal ‘Desaru’ yang turut
membawa seramik buatan China, ditemui pada kedalaman 20 meter dari paras laut berdekatan
Mersing. Kapal yang karam pada 1830 dan dijumpai pada 2001 itu berukuran
panjang 30 meter dan tujuh meter lebar.
* Kapal ‘Singtai’ tenggelam
pada 1550 dan ditemui pada 2001 kira-kira 12 batu nautika dari Kelantan. Kapal
yang panjangnya 22 meter itu belayar di Laut China Selatan dan ratusan seramik
ditemui di dalamnya.
Kapal ‘Diana’ milik British
pula karam pada 1817 di perairan Selat Melaka dan hanya ditemui pada 1993 pada
kedalaman 34 meter dari paras laut. Barang seramik dan porselin adalah kargo
utama dalam kapal yang mempunyai muatan seberat 11 tan. Antara barangan itu
ialah pinggan mangkuk, set teh dan kira-kira 24,000 unit tembikar China
daripada jenis biru dan putih.
Sumber:
unwanted86.blogspot.com/2008/10/perairan-malaysia-khazanah-harta-karun.html
Suntingan: audaf
No comments:
Post a Comment