Ad

Sunday 29 December 2013

Bekas pemain BAM mara ke akhir sirkit kebangsaan

29 Disember 2013
BAM
BAM Pasangan beregu wanita Shevon Lai Jemie (kanan) dan Soong Fie Cho (kiri) ketika beraksi menentang pasangan Lee Meng Yean dan Lim Yin Loo pada Kejohanan Badminton Maybank Sirkit Kebangsaan 2013 peringkat Separuh Akhir di Kompleks Kejiranan Presint 11 di Putrajaya hari ini.- Foto Bernama
PUTRAJAYA - Bekas pemain Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Chun Seang mencipta kejutan apabila mara ke pentas akhir Kejohanan Badminton Sirkit Kebangsaan Peringkat Akhir Maybank di sini hari ini.

Chun Seang mengetepikan juara bertahan Misbun Ramdan Mohmed Misbun 18-21, 21-17, 21-19 dalam perlawanan sengit separuh akhir yang berlangsung di Kompleks Kejiranan Presint 11 di sini.

"Sebenarnya saya sudah kalah dari segi kecergasan dengannya (Ramdan), tapi saya teruskan saja dan memberikan yang terbaik," katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Chun Seang, yang kini bermain secara bebas, meninggalkan BAM dua tahun lepas kerana masalah keluarga dan dilarang badan induk itu daripada menyertai sebarang kejohanan antarabangsa sepanjang tempoh berkenaan.

"Kalau mereka (BAM) mahu pelawa saya untuk mewakili negara, saya memang mahu, tapi itu terpulanglah pada mereka," katanya.

Chun Seang bakal berdepan pemain kebangsaan dan pilihan utama kejohanan Chong Wei Feng dalam pertemuan akhir esok.

Wei Feng hari ini mudah menundukkan Zulfadli Zulkiffli 21-8, 21-17.

Turut mara ke akhir ialah Lim Chiew Sien dan Yang Li Lian dalam saingan perseorangan wanita, gandingan Hoon Thien How/Tan Wee Kiong dan Goh V.Shem/Lim Khim Wah bagi beregu lelaki, Lee Meng Yean/Lim Yin Loo dan Chiow Mei Kuan/Vivian Hoo (beregu wanita) serta Chan Peng Soon/Lai Pei Jing dan Jian Guo/Lim Yin Loo (beregu campuran). - Bernama

SINAR HARIAN ONLINE 29.12.13

No comments:

Post a Comment