Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA
saphilla.isa@kosmo.com.my
Industri hiburan dan sukan berkembang baik ketika itu. Malah kejayaan pasukan Tanah Melayu dalam sukan antarabangsa menunjukkan penduduk tidak memberi perhatian yang berat kepada perjuangan komunis.
APABILA menyebut tentang zaman darurat, pasti fikiran kita melayang memikirkan penderitaan kehidupan penduduk Tanah Melayu sepanjang detik hitam itu.
Tidak ramai yang tahu bahawa di sebalik ketakutan penduduk yang bimbang menjadi mangsa keganasan anggota Parti Komunis Malaya (PKM), tersembunyi cerita sebuah kehidupan yang biasa dan tenang.
Memanglah tempoh darurat yang panjang dari tahun 1948 sehingga 1969 banyak menyimpan kisah duka. Tetapi hakikatnya, sepanjang detik itu juga, penduduk Tanah Melayu masih dapat menjalani kehidupan seperti biasa.
Profesor Emeritus Datuk Dr. Khoo Kay Kim, 72, bercerita tentangnya.
Dilahirkan di Kampar, Perak, Kay Kim memberitahu, ramai orang yang salah anggap mengenai zaman darurat.
"Bila orang sebut zaman darurat, mereka beranggapan rakyat ketika itu hidup perit dan menderita. Tetapi sebenarnya tidak.
"Mungkin di pinggir-pinggir bandar, saya akui hidup mereka sukar dan terdedah dengan ancaman komunis, tetapi jika ditinjau kehidupan di bandar-bandar besar, kehidupan mereka tidak terjejas dan penduduk menjalani kehidupan seperti biasa," katanya.
Tanah Jajahan, Alan Lennox Boyd (kiri) menandatangani perjanjian yang dicapai dalam perundingan merdeka dengan Tunku Abdul Rahman di London.
Menurutnya, sungguhpun ketika itu zaman darurat, masih terdapat pelbagai hiburan dan pertandingan sukan yang diadakan di bandar-bandar.
"Malah, pada awal tahun 1949, Tanah Melayu berjaya menjadi juara dunia badminton. Pelbagai pertandingan sukan yang lain turut muncul seperti bola sepak, ragbi, hoki, kriket dan olahraga," ujarnya kepada Kosmo!.
Ceritanya lagi, penduduk di bandar-bandar besar pada masa itu juga sudah didedahkan dengan tarian opera Cina, pertunjukan bangsawan, kabaret dan joget.
"Industri hiburan dan sukan berkembang baik ketika itu. Malah kejayaan pasukan Tanah Melayu dalam sukan antarabangsa menunjukkan penduduk tidak memberi perhatian yang berat kepada perjuangan komunis. Tiada sabotaj dilakukan oleh pihak komunis sepanjang pertandingan sukan diadakan.
"Saya sendiri tidak berasa takut untuk menunggang basikal dari rumah ke bandar untuk bermain bola sepak," katanya yang merasai pengalaman perkembangan sosioekonomi zaman darurat semasa berumur 15 tahun.
Namun sebaliknya kisah yang ingin disampaikan oleh Lt. Jeneral (B) Datuk Seri Zaini Mohd. Said.
KEBEBASAN sukar dinikmati apabila banyak sekatan jalan dan pemeriksaan terpaksa dilakukan bagi melumpuhkan kegiatan komunis ketika darurat.
Zaini bercerita, selepas dua tahun kelahirannya, Tanah Melayu diisytiharkan darurat (1948 - 1960). Ia merupakan satu titik hitam dalam sejarah Tanah Melayu apabila berlakunya peperangan terbuka di antara kerajaan dan PKM.
Sepanjang tempoh itu, komunis begitu bermaharajalela. Mereka menawan dan menguasai kawasan-kawasan tertentu untuk dijadikan markas bagi menyerang tentera kerajaan.
Justeru itu, banyak sekatan jalan raya diadakan oleh tentera British bagi melumpuhkan pergerakan komunis.
"Bayangkan, hampir setiap jalan pada masa itu dikawal dan ada sekatan. Penduduk yang ingin melaluinya diperiksa seperti seorang pesalah. Dalam suasana dan keadaan seperti itu, penduduk hidup dalam ketakutan," katanya.
Zaini memberitahu, ayahnya yang bekerja kampung mula mendaftarkan diri menyertai unit anggota polis yang dahulunya dikenali sebagai Police Depot untuk memperjuang dan mempertahankan Tanah Melayu.
"Keluarga saya kemudiannya berpindah ke kuarters polis di Jalan Gurney, Kuala Lumpur," tambahnya.
GAMBAR kenangan potret keluarga besar Datuk Seri Zaini Mohd. Said yang diambil dari album keluarga.
Lelaki yang pernah menyandang jawatan Panglima Medan Tentera Darat itu berkongsi perihal hidupnya sempena Hari Kemerdekaan ke-52 tahun yang disambut hari ini di seluruh negara.
Mengenang kisah zaman penjajahan Inggeris, katanya, ketika itu orang Melayu terpaksa tabik, tunduk dan berasa takut apabila berdepan dengan orang putih.
Anak sulung daripada 10 adik-beradik itu juga memberitahu, pada tahun 1956, beliau semakin bijak melihat dan menafsir keadaan Tanah Melayu ketika itu.
Zaini mula merasa marah dan mual dengan pemerintahan orang putih di Tanah Melayu walaupun pihak komunis ketika itu banyak yang telah berundur.
"Sungguhpun ketika itu, saya baru berusia 10 tahun tetapi kemarahan tetap berbuku di dalam hati. Saya marah melihat orang Melayu dijajah. Jadi, apabila tanggal 31 Ogos 1957 iaitu detik Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, saya berasa amat gembira melihat titik perubahan itu.
"Sebenarnya, setahun sebelum mencapai kemerdekaan, saya sudah mendengar ura-ura yang mengatakan bahawa Tanah Melayu bakal mencapai kemerdekaan.
PIHAK polis dan tentera sanggup berkorban nyawa demi maruah Tanah Melayu.
"Saya sudah dengar mengenainya di corong-corong radio apabila deejay menyebut nama Tunku Abdul Rahman. Ketika itu, timbul perasaan seronok dan ada harga diri.
"Sebelum merdeka, penduduk Tanah Melayu hidup seperti orang kerdil yang tunduk kepada orang putih," ceritanya yang mula menyertai tentera pada umur 19 tahun.
Apa pula cerita yang mahu dikongsi oleh Profesor Datuk Dr. Ramlah Adam, 59, mengenai zaman darurat dan era kemerdekaan Malaysia.
"Apabila komunis angkat senjata, tentera British mula merangka dan melancarkan strategi bagi menghapuskan komunis.
"Rancangan Briggs dilancarkan oleh Sir Henry Gurney pada pertengahan tahun 1950," kata wanita yang dilahirkan di Tanjung Keling, Melaka.
ZAINI asyik bercerita tentang pengalaman sebelum merdeka di rumahnya di Kajang, Selangor.
Ujarnya, tindakan itu dilakukan bagi menyekat bekalan makanan serta ubat-ubatan supaya tidak sampai kepada anggota PKM.
Selain itu, katanya, penduduk Cina yang tinggal di kawasan terpencil dan bertaburan di merata tempat dipindahkan untuk ditempatkan di Kampung Baru. Langkah itu diambil bagi mengelakkan mereka diugut oleh pihak komunis untuk mendapatkan bekalan makanan dan ubat-ubatan.
"Kampung-kampung baru itu dipagar dengan kawat berduri serta dikawal oleh pasukan keselamatan.
"Bukan setakat itu sahaja, tentera British juga banyak melakukan sekatan jalan raya bagi melumpuhkan pergerakan komunis," katanya.
Bercerita tentang keganasan yang dilakukan komunis ketika itu, Ramlah memberitahu, kebanyakan penduduk yang tinggal di kampung dan pinggir bandar sentiasa menerima ancaman komunis.
"Pihak komunis melakukan huru-hara dengan membakar kampung-kampung kecil. Mereka juga mengadakan sekatan jalan, menahan dan membakar bas serta merampas barang berharga penduduk.
"Malah, banyak penduduk di luar bandar dipujuk supaya menyertai komunis," katanya.
Mengenai detik kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, beliau yang masih bersekolah rendah ketika itu sempat melihat persiapan kemerdekaan di bandar-bandar.
"Saya ikut ayah ke pekan dan lihat banyak bendera dipasang di bangunan.
"Di sana dan sini terdengar laungan kemerdekaan, baik di corong radio mahupun perbualan sesama penduduk," katanya yang ketika itu turut merasai keseronokan dan kemeriahan kemerdekaan apabila sekolahnya, Sekolah Kebangsaan Kampung Gelam, Tanjung Keling, Melaka turut menyambut hari kemerdekaan dengan penuh meriah.
Menggeletar ketakutan
“CIKGU, buka pintu ni. Boleh tolong baiki motor saya yang rosak?” satu suara lembut diiringi ketukan kuat bertalu-talu pada pintu rumah Musa Arshad pada pukul dua pagi memecah hening Subuh.
Peristiwa itu berlaku tidak lama selepas berakhirnya penjajahan Jepun pada Ogos 1945.
Anak perempuan Musa, Rosdiah, yang ketika itu sedang memadam lampu damar baru sahaja selesai menikmati makanan sahur bersama suaminya, Said Amin.
Pada masa itu, umat Islam sedang menyambut bulan Ramadan al-Mubarak.
Terkejut dengan ketukan yang kuat, Rosdiah pantas berlari mendapatkan suaminya di dalam bilik. Tubuh Rosdiah menggeletar ketakutan semasa dia mengejutkan si suami.
Said menyuruh isterinya bertenang dan tanpa berlengah, Said terus mengintai di celah-celah ruang rumah. Ketika itu, dia ternampak ramai orang bertopikan bintang tiga sedang mengepung rumah bapa mentuanya, Musa.
Said sedar kedatangan anggota Parti Komunis Malaya (PKM) itu adalah untuk memburu Musa yang merupakan bekas guru yang pernah bekerja dengan Jepun.
DATUK SERI ZAINI MOHD. SAID
Bagaimanapun, Musa yang turut dikenali dengan kemahirannya membaiki motosikal sudah lari menyelamatkan diri ke rumah ibunya terlebih dahulu kerana sedar dirinya akan menjadi sasaran komunis.
Tinggallah Said dan Rosdiah yang baru sebulan berkahwin bersama dua orang adik Rosdiah yang masih kecil di rumah Musa di Kampung Sungai Machang, Ulu Lenggeng, Negeri Sembilan.
“Waktu itu Jepun sudah kalah dan berundur. Tentera British belum lagi kembali ke Tanah Melayu. Tidak ada yang berkuasa di Tanah Melayu melainkan komunis,” cerita Datuk Seri Zaini Mohd Said, 63.
Zaini menceritakan pengalaman cemas yang berlaku ke atas kedua-dua mertuanya ketika zaman sebelum merdeka.
Beliau yang pernah menyandang jawatan Panglima Medan Tentera Darat berkongsi kisah itu sempena ulang tahun ke-52 kemerdekaan negara yang disambut hari ini ketika ditemu bual Kosmo! di rumahnya di Kajang, Selangor baru-baru ini.
Kosmo online 31.8.2009
No comments:
Post a Comment