KUALA LUMPUR - Sukar untuk
mencari apakah detik gemilang sukan sepak takraw Malaysia sepanjang 2013.
Paling hampir mungkin ketika
bergelar naib juara Siri Super 3 Istaf, di mana Malaysia turut mencuri dua set
biarpun akhirnya kalah 2-3 kepada Thailand di Kota Kinabalu, Sabah, 3 November
lalu.
Selebihnya, pasukan negara
dinoktahkan dengan 'kandas dan kandas lagi', termasuk pada Sukan SEA XXVII yang
menyaksikan cuma sebutir pingat perak antara regu dan dua gangsa 'sedekah'
berpasukan dibawa pulang skuad elit dan wanita dari Nay Pyi Taw, bulan lalu.
Jika bukan hanya empat negara
yang menyertai dan tiada pula perlawanan playoff gangsa berpasukan, anak buah
Jamaluddin Hassan berkemungkinan pulang dengan tangan kosong buat kali pertama
dalam sejarah sejak Malaysia yang memasukkan acara tertua Sukan SEA itu pada
1965.
Adakah gelaran antara regu
Piala Raja Thai di Udonthani, September lalu boleh dibanggakan? Oh tidak!
Selagi masih perit atau terkial-kial untuk menewaskan 'bekas murid' Korea
Selatan, apalah nilainya kejuaraan tunggal itu tambahan tanpa penyertaan musuh
ketat Thailand pula.
Sepanjang 2013 juga kita kerap
diperbudakkan oleh anak buah Yoo Dong-yeong itu, selain di Udonthani, Siri
Super 1 Istaf di New Delhi dan terakhir sekali, tanpa terbalas satu set pun
(13-15, 7-15, 10-15) dalam perlawanan akhir Kejohanan Asia Pertama di Hwacheon
Kangwondo, November lalu.
Namun Presiden Persatuan
Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Ahmad Ismail dalam wawancara dengan RTM
baru-baru ini, bingkas mencanangkan elaun bulanan lumayan ribuan ringgit
sebagai punca peningkatan mendadak pasukan Korea Selatan ketika beliau turut
menyasarkan emas Sukan Asia di negara itu, September ini.
Dasar sekatan penyertaan bagi
mengelak monopoli seperti Sukan SEA bakal diteruskan dalam Sukan Asia Incheon
namun pastikah Indonesia, Myanmar dan Laos yang turut menumbangkan skuad
Jamaluddin di Nay Pyi Taw selain Thailand, tidak akan turut bersaing dalam
acara buruan emas kita, berpasukan dan antara regu?.
Barisan muda yang cuba dibentuk
dan dipersiapkan bagi sasaran jangka panjang emas Incheon itu sudah pun
terkandas di tengah jalan atau mengalah lebih awal ekoran kejadian beberapa
pemain skuad elit yang meninggalkan Liga Sepaktakraw Thailand (TTL) tanpa
pengetahuan, Julai lalu.
Regu , Khairol Zaman Hamir
Akhbar dan Syafiq Ab. Rahman dikenakan tindakan tatatertib PSM gara-gara
meninggalkan kelab Nakhon Pathom dan Kalasin dalam Liga Sepaktakraw Thailand
(TTL) tanpa kebenaran.
Lantas apa lagi yang tinggal
untuk dipertaruhkan Malaysia dalam aksi besar antarabangsa tambahan pula dengan
sentuhan 'sakti' Jamaluddin yang ditagih seperti mengukir emas terakhir Sukan
SEA 2005, tidak menjadi langsung di Nay Pyi Taw biarpun dibantu legenda emas,
Iskandar Arshad dan Nordin Sabarudin.
SUMBER:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140101/su_07/2013-tahun-kandas-sepak-takraw-kita#ixzz2p67c2sHu
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment