Ad

Tuesday, 31 December 2013

Gajah Borneo sudah kenal Farina

Oleh SITI NOR AFZAN KASIMAN
 
KEMUNCULAN sekumpulan gajah Borneo dari belukar di tebing Sungai Kinabatangan petang itu merupakan sesuatu yang ditunggu-tunggu oleh Nur Zhafarina Othman.

Setelah lebih sejam meranduk air di sungai terpanjang di Sabah itu, peluang di depan mata dimanfaatkan sepenuhnya dengan merakamkan gambar dan mencatat tabiat mamalia tersebut.

Nur Zhafarina atau Farina merupakan penuntut ijazah kedoktoran (PhD) dari Universiti Cardiff, Britain yang sudah tujuh tahun mengkaji spesies gajah terkecil di dunia itu.

Bertugas sebagai penyelidik biologi di Pusat Lapangan Danau Girang (DGFC) yang bekerjasama dengan Universiti Cardiff dan Jabatan Hidupan Liar Sabah, komitmen Farina, 29, terhadap gajah Borneo bukan sekadar memenuhi tuntutan pengajian malah merupakan minatnya.

Keakrabannya dengan mamalia tersebut serta jerih payahnya untuk memulihara populasi gajah Borneo yang semakin mengecil, menjadikan Farina sangat terkenal di daerah Kinabatangan.

Malah, penduduk di sana menggelar anak kelahiran Alor Setar, Kedah ini sebagai Mamak Gajah atau Puteri Gajah.

Nama Farina juga tidak asing dalam kalangan badan sukarela yang terlibat dalam bidang konservasi gajah, kebanyakannya dari luar negara seperti Zoo Houston dan Zoo Columbus di Amerika Syarikat (AS); Elephant Family; Perkhidmatan Hidupan Liar dan Ikan AS; serta Tabung Konservasi Spesies Mohamed Bin Zayed.

Kepakaran beliau mengenai gajah Borneo juga mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila menjadi pakar rujuk dalam kalangan rakan-rakan sejawatnya dari AS dan Eropah. Farina juga sering dijemput membentangkan kertas kerja berkaitan penyelidikannya di luar negara.


FARINA (kanan) dan rakan penyelidiknya akan memasuki hutan di Kinabatangan sebanyak dua kali sebulan bertujuan memantau tabiat gajah berkenaan.
 
Kelainan

“Beliau satu-satunya penyelidik tempatan di sini, beragama Islam dan ibu kepada seorang anak yang masih kecil.

“Begitupun, status itu sama sekali tidak menyekat Farina daripada menjadi penyelidik terbaik dan wirawati kepada spesies gajah paling kecil di dunia ini,” ujar penulis hidupan liar dan konservasi dari Britain yang pernah menemu bual Farina, Jeremy Hance.

Minat Farina terhadap gajah bermula kira-kira sedekad lalu apabila beliau mahu menyiapkan projek tahun akhirnya semasa menuntut di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

“Ketika itu, saya hanya mahu mencari kelainan. Saya inginkan projek kajian yang lain daripada rakan-rakan sekelas.

“Demi keinginan itu, saya pergi berjumpa dengan Dr. Sen Nathan, Pengarah Taman Hidupan Liar Lok Kawi.

“Beliau mencadangkan saya supaya mengkaji tentang perbandingan morfologi antara gajah di tanah besar dengan gajah di pulau.

“Saya pergi ke beberapa zoo di Semenanjung untuk menjalankan kajian. Berkat kerja keras, alhamdulillah, saya mendapat markah A untuk projek itu.

“Pada masa yang sama, Dr. Benoit Goosens iaitu penyelia PhD saya sekarang, datang melawat Sabah bersama Geran Inisiatif Darwin untuk menjalankan projek konservasi genetik gajah Borneo.

“Beliau mengambil saya sebagai pelajar ijazah sarjana di bawah seliaannya. Semenjak itu, saya sentiasa mencari peluang untuk bekerja dengan spesies gajah ini.

“Apabila Goosens menawarkan saya untuk menyambung pengajian ke peringkat PhD dan menjadikan tabiat serta pergerakan gajah Borneo sebagai subjek kajian, saya sahut cabaran itu.

“Ia peluang terbaik untuk saya mendekati dan memahami haiwan tersebut di habitat asalnya,” ujar Farina yang memilih untuk menyelidik tingkah laku sosial mamalia tersebut sebagai fokus kajiannya.


SUDAH hampir tujuh tahun Farina bergelumang dengan selut dan hutan demi spesies gajah yang dikaguminya.
 
Kolar satelit

Menurut statistik Jabatan Hidupan Liar Sabah, dianggarkan hanya tinggal 2,000 ekor gajah Borneo yang masih ada di habitat asal, kebanyakannya di timur laut Sabah dan sebilangan kecil pernah ditemui di Kalimantan, Indonesia.

Walaupun kerdil, gajah Borneo atau dikenali juga sebagai gajah pygmy, dapat mencapai berat 2,000 kilogram (kg), namun ia jauh lebih kecil berbanding gajah dewasa Afrika yang boleh mencecah 7,000kg.

Azam Farina, beliau mahu memahami tingkah laku dan kehidupan sosial gajah, bukan sahaja gajah Borneo, tetapi juga gajah daripada spesies lain yang terdapat di Asia.

“Sebelum misi mengesan gajah Borneo dimulakan, saya dan rakan-rakan perlu merancang pergerakan kami berpandukan kepada data daripada kolar satelit yang dipasang pada leher gajah.

“Pemasangan kolar satelit ini sangat membantu khususnya dalam mengumpul data tambahan daripada penyelidik berbeza bagi memudahkan usaha mengurus gajah Borneo di kawasan Kinabatangan di samping mengetahui perilaku sosial gajah tersebut melalui alat sistem pengesanan global (GPS).

“Melalui pemerhatian saya, gajah yang ditemui di hilir Sungai Kinabatangan tidak bersifat ganas. Belum ada penduduk di sini yang mati akibat serangan gajah seperti di India, Sri Lanka dan Indonesia,” ujarnya yang biasa meredah hutan, memanjat pokok dan merentas paya semata-mata untuk mengesan gajah.

Sebagai penyelidik, Farina yang menetap bersama suami dan anak perempuannya di Kota Kinabalu akan ke Kinabatangan sekurang-kurangnya dua kali sebulan.

“Dari Kota Kinabalu saya akan mengambil pesawat ke Sandakan. Jika menggunakan laluan darat, jaraknya lebih kurang 350 kilometer (km) namun dengan keadaan muka bumi yang berbukit-bukau dan jalan bengkang-bengkok, ia mengambil masa enam jam untuk tiba.

“Sebaik sahaja sampai di Sandakan, saya akan meneruskan perjalanan ke pekan Sukau yang meliputi perjalanan sejauh 135km dengan 42km daripadanya melalui jalan batu kerikil yang melintasi ladang kelapa sawit,” jelas Farina, anak kedua daripada lima beradik.

Menurut isteri kepada pensyarah UMS ini, Sukau merupakan pekan kecil yang semakin membangun.

Selain menjadi perkampungan yang menjadi pintu gerbang kepada kepelbagaian hidupan liar seperti monyet Bangakatan dan gajah Borneo, ia juga menjadi pusat penuaian sarang burung di Gua Gomantong serta lokasi terletaknya perkuburan kuno Batu Tulung.


SEKUMPULAN 10 ekor gajah Borneo ditemui mati di Tawau, Januari lalu. Dianggarkan terdapat 2,000 ekor sahaja gajah kerdil di Sabah sekarang.

Sukau

“Dengan kekayaan flora dan fauna, Sukau semakin dikenali terutamanya dalam kalangan pelancong asing yang gemarkan pelancongan lasak,” katanya.

Perjalanan Farina untuk menjejak kumpulan gajah kerdil tidak berakhir di pekan Sukau.

“Tiba di pekan Sukau, perjalanan diteruskan dengan menaiki bot untuk ke kawasan habitat gajah Borneo yang mengambil masa antara satu hingga dua jam. Kalau ada kawanan gajah yang sedang bermain-main di tebing sungai, itu memang rezeki kami.

“Jika tidak, saya dan rakan-rakan akan meredah hutan belukar untuk menjejak tapak gajah Borneo berpandukan data daripada GPS,” ujar Farina yang mengakui sudah mengenal gajah-gajah di Kinabatangan, malah dalam kalangan gajah, haiwan itu juga sudah mengenali Farina.

“Setakat ini sudah lapan ekor gajah yang dipasang dengan kolar satelit. Setiap satunya mempunyai nama seperti Gading, Putut, Elvis dan sebagainya. Malah, ada seekor gajah betina yang saya namakan sempena nama anak saya iaitu Aqeela,” ujar Farina.

Dalam satu rakaman video dokumentari berkenaan misi mengesan gajah-gajah Borneo, Farina dilihat begitu berani berdepan dengan gajah liar.

Malah isteri kepada Fauzie Sarjono, 32, ini tidak kekok berkomunikasi dengan gajah-gajah yang ditemuinya. Menariknya, ada gajah yang berhenti membuat bising selepas Farina menyuruhnya senyap!

“Penyelidikan tentang gajah Borneo adalah sesuatu yang sangat menarik, apatah lagi populasi mamalia ini sangat sedikit dan unik kerana gajah kerdil ini hanya boleh ditemui di sini,” jelas Farina.

SUMBER RUJUKAN : KOSMO ONLINE 31.12.13

No comments:

Post a Comment