Ad

Tuesday, 31 December 2013

Rosman mahu julang beregu wanita

 KUALA LUMPUR - Sasaran jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak untuk 2013 sudah tercapai apabila membantu beregu badminton negara, Woon Khe Wei-Vivian Hoo meraih pingat emas Sukan SEA 2013 Myanmar.

Kini, menjelang tahun baharu 2014 dia mempunyai misi yang lebih besar.

Menurut Rosman, dia masih dibuai dengan kejayaan anak buahnya meraih emas beregu wanita selepas menumbangkan pilihan pertama Nitya Krishinda Maheswari-Greysia Polii di Nay Pyi Taw bulan lepas.

Begitupun, kejayaan itu bukanlah penamat tetapi satu permulaan.

"Alhamdulillah sasaran saya untuk 2013 sudah tercapai, sekarang saya perlu buka buku baharu untuk 2014 dan saya mahu ia dimulakan dengan mana-mana pasangan beregu wanita negara mampu untuk berada di ranking 10 terbaik dunia," katanya.

Jelasnya, dia tidak kisah mana-mana pasangan pun asalkan ia adalah pasangan dari Malaysia dan mampu menempatkan diri dalam kelompok 10 beregu wanita terbaik dunia untuk mencabar pasangan beregu dari negara lain.

"Tidak kisah mana-mana pasangan walaupun ia bukan Vivian-Khe Wei, kerana semua pasangan beregu wanita negara mempunyai peluang asalkan mereka mampu memberi aksi yang terbaik.

"Ini adalah persaingan sihat antara mereka dan ia sangat penting untuk menaikkan taraf keseluruhan beregu wanita negara," kata bekas pemain badminton negara itu yang pernah beraksi dalam acara beregu lelaki dan campuran.

Ditanya untuk sasaran peringkat awal apakah yang diharapkan daripada pemain beregu wanita negara, Rosman berkata, dia mahu membantu pasukan wanita melayakkan diri ke saingan Piala Uber 2014 di New Delhi.

Pasukan wanita gagal melayakkan diri di Piala Uber 2012 Wuhan, manakala kali terakhir mereka beraksi ialah di Kuala Lumpur pada 2010 namun terkandas di peringkat suku akhir selepas tewas 0-3 kepada Indonesia.

Mengikut ranking setakat ini Vivian-Khe Wei berada di No.19 dunia, manakala beregu wanita yang tidak berada di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Ng Hui Ern-Ng Hui Lin menghuni ranking ke-20 dunia.

SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140101/su_06/Rosman-mahu-julang-beregu-wanita#ixzz2p66baozK © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment