Ad

Wednesday, 25 December 2013

Pahlawan negara dikenang sepanjang zaman

Oleh FAUZIAH AROF-rencana@utusan.com.my
 
Kerajaan mengenang jasa bekas-bekas anggota keselamatan dengan mengurniakan pingat dan pelbagai bantuan lain. - gambar hiasan

RAMAI dalam kalangan kita dilahirkan semasa negara ini sudah bebas daripada belenggu penjajahan. Maka pahit getirnya mengharungi zaman-zaman gelap, sukar dan duka itu, tidak dapat digambarkan melainkan sekadar mengetahuinya dengan membaca buku-buku sejarah atau mendengar cerita-ceritanya sahaja.

Justeru apabila negara menyambut Hari Pahlawan setiap tahun pada tanggal 31 Julai, ramai terutamanya generasi muda yang tidak ambil kisah, membiarkan ia berlalu tanpa rasa apa-apa, dan tidak kurang juga tidak mengetahui bahawa tarikh itu merupakan Hari Pahlawan. Sedangkan hari berkenaan adalah lebih besar pengertiannya daripada memperingati kekasih.

Setiap tahun negara ini menyambut Hari Pahlawan sebagai mengenang jasa dan bakti para pahlawan yang gugur semasa menabur bakti mempertahankan agama, bangsa dan negara.

Pada hari tersebut, pelbagai acara diadakan bagi mengenang jasa semua pasukan keselamatan tidak kira tentera atau polis sebelum dan selepas Malaysia merdeka.

Pengorbanan yang dilakukan golongan ini adalah yang tertinggi dalam hidup seorang manusia yang tidak semua orang boleh menikmatinya atau melaksanakannya tanpa ada cukup keberanian, rasa tanggungjawab dan semangat cintakan kepada negara yang menggunung.

Maka sesiapa yang melaksanakan pengorbanan ini telah menabur jasa dan bakti yang bukan sedikit. Mereka ini sanggup menggadaikan nyawa, meninggalkan keluarga tersayang dan segala-galanya demi keamanan negara dan keselamatan penduduk yang lain.

Ada juga yang kehilangan anggota seperti kaki akibat terkena jerangkap samar, dan mengalami kecacatan-kecacatan lain. Mereka terpaksa mengharungi hidup ini dengan kecacatan itu seumur hidup - segala-galanya demi negara.

Justeru, Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada istiadat sambutan Hari Pahlawan 2011 yang diadakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur kelmarin menyeru seluruh rakyat Malaysia agar meningkatkan lagi semangat kepahlawanan, patriotisme, kesetiaan, kecintaan dan sanggup berkorban untuk negara.

Seri Paduka juga menegaskan, semangat berkenaan perlu dipupuk dan disemarakkan sepanjang masa bagi menghargai dan mengenang jasa para pahlawan yang sanggup melakukan pengorbanan tertinggi demi kedaulatan negara tercinta.

"Sesungguhnya, negara dan rakyat amat terhutang budi kepada mereka sekalian (pahlawan negara). Hakikatnya, keamanan, kestabilan dan kesejahteraan yang negara nikmati pada hari ini tidak akan dapat kita capai tanpa pengorbanan yang dilakukan oleh mereka," titah Seri Paduka.

Walaupun negara sudah lama merdeka, rakyat perlu memiliki semangat yang sama seperti pahlawan dan wira negara yang menentang komunis dulu, dalam menghadapi anasir-anasir luar kini yang cuba menyebarkan dakyah negatif, bertujuan memecahbelahkan perpaduan kaum dan menghancurkan apa yang telah dibina oleh rakyat atas semangat itu sebelum ini.

Atas pengorbanan besar pahlawan ini juga, kerajaan begitu mengambil berat kebajikan mereka. Sebagai mengiktiraf jasa dan pengorbanan pahlawan negara ini, pelbagai penghargaan dan pingat kebesaran serta keberanian telah dianugerah kepada mereka.

Tidak dilupakan juga pelbagai bentuk bantuan yang disalurkan kepada mereka atau keluarga mereka.

Maka, sudah sewajarnya juga, rakyat tanpa mengira keturunan dan kepercayaan dalam semangat 1Malaysia bersama-sama memberi penghargaan dalam apa jua bentuk, sama ada bantuan atau sokongan kepada para pahlawan negara yang masih ada mahupun kepada balu, keluarga serta waris yang telah mereka tinggalkan.

Tanpa pengorbanan mereka ini, sudah pasti kita tidak dapat menghirup udara aman, bergerak bebas dan menikmati pelbagai kemajuan hasil daripada pengorbanan pahlawan-pahlawan negara ini.

Di negara-negara Barat, mengenang jasa dan pengorbanan pahlawan adalah satu perkara yang luar biasa sambutannya. Kebanyakan negara ini memberi cuti umum bagi memberi ruang kepada rakyatnya mengisi aktiviti untuk mengenang jasa dan bakti pahlawan-pahlawan mereka yang gugur dalam medan peperangan semasa mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara.

Sambutan Hari Pahlawan di negara-negara berkenaan adalah satu usaha penting bagi meningkatkan imej kerajaan dan instrumen pertahanannya serta mengenang pengorbanan inidividu yang berkorban demi negara mereka.

Hari-hari mengenang kepahlawanan negara seperti ANZAC Day di Australia dan New Zealand, Veteran's Day di United Kingdom, Volkstranertag di Jerman, dan Memorial Day di Amerika Syarikat begitu terkenal di seluruh dunia.

Maka sudah sewajarnya, rakyat di negara ini terutamanya generasi muda menoleh kebelakang melihat hari-hari yang dilalui negara ini, sebelum ini. Tiada semalam, maka tiadalah hari ini. Dan perjuangan anggota-anggota keselamatan yang menjadikan hari ini aman dan selamat untuk semua, harus dikenang sepanjang zaman.
 RUJUKAN:http://www.utusan.com.my/utusan/info.aspy=2011&dt=0802&pub=utusan_malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm#ixzz2oV2EmLt5 © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment