Ad

Friday, 27 December 2013

Pulau Tawar bakal jadi hab pelancongan

 

GUA Kota Gelanggi merupakan salah satu lokasi pelancongan di Pulau Tawar, Jerantut.
JERANTUT 10 Mei - Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Tawar di sini akan dibangunkan menjadi hab pelancongan baharu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar, Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail berkata, pihaknya akan membangunkan tempat-tempat menarik dan bersejarah yang terdapat di kawasan DUN berkenaan agar menjadi tarikan pelancong dari dalam dan luar negara.

"DUN Pulau Tawar mempunyai kawasan yang menarik seperti Gua Kota Gelanggi, Makam Pahlawan Mat Kilau, Air Terjun Sungai Salan dan Felda Residence Tekam Resort.

"Kami akan meningkatkan kemudahan di tempat tersebut agar ia menarik minat orang ramai untuk datang selain mengadakan promosi bersama agensi pelancongan," katanya di sini semalam.

Menurutnya, pelancong yang datang ke daerah ini lebih tertumpu ke Taman Negara, jadi dengan adanya kawasan yang baharu dan lebih menarik, mereka mempunyai banyak pilihan tempat yang ingin dikunjungi untuk bercuti.

Ahmad Shukri berkata, pihaknya juga akan membina inap desa di kawasan berhampiran Felda Residence Tekam Resort bagi menarik lebih ramai pelancong.

"Felda Residence Tekam Resort bukan sahaja menyediakan penginapan dan kolam renang, malah pengunjung dapat melakukan aktiviti berkayak, berakit, flying fox dan sebagainya, jadi pembinaan inap desa dapat penyokong pembangunan industri pelancongan," ujarnya.

Beliau memberitahu, pihaknya turut membangunkan kampung tradisional dengan kebudayaan dan kesenian serta masakan Pahang agar turut menjadi tumpuan pelancong di samping merasai kehidupan aman damai di kampung.

Pada masa yang sama, pihaknya akan menjadikan perkampungan Orang Asli sebagai tarikan pelancongan untuk ketengahkan corak kehidupan mereka dan hasil kraftangan kepada dunia luar.

"Kita akan membuat perancangan yang rapi dan tersusun serta menjalinkan kerjasama dengan agensi kerajaan dan swasta terlibat agar DUN Pulau Tawar dikenali di seluruh dunia sekali gus meningkatkan taraf ekonomi penduduk," katanya.

RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Pahang/20130511/wp_01/Pulau-Tawar-bakal-jadi-hab-pelancongan#ixzz2ofKXV1EL © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment