Mat Indera
Mat Indera atau nama sebenarnya
Ahmad bin Indera adalah anak Johor yang terlibat dengan gerakan-gerakan
menentang penjajah ketika negara diperintah oleh British sebelum Tanah Melayu
beroleh kemerdekaan.
Beliau pada awalnya, seperti
individu-individu lain juga telah berjuang atas platform masing-masing, dengan
matlamat yang sama iaitu membebaskan negara daripada belenggu penjajahan.
Bezanya, Mat Indera melibatkan
diri dalam gerakan haluan kiri dengan menjadi ahli kepada sayap pemuda Parti
Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang dipimpin oleh Dr. Burhanuddin Al-Helmy dan
Ishak Haji Muhammad.
Sayap pemuda PKMM dikenali
sebagai Angkatan Pemuda Insaf (API) pimpinan Ahmad Boestamam. Haluan kiri ini
termasuk juga gerakan Parti Komunis Malaya (PKM) yang mempengaruhi pelbagai
gerakan buruh dan masyarakat awam.
Apabila pihak berkuasa British
menguatkuasakan Undang-Undang Darurat pada 19 Jun 1948 di Tanah Melayu (selepas
tindakan militan dan ganas PKM membunuh peladang British), semua parti politik
berhaluan kiri seperti PKMM, AWAS, API dan PKM telah diharamkan.
Oleh itu, ramai ahli gerakan
haluan kiri ini memilih tindakan sama ada berdiam diri, melarikan diri ke
Singapura, bersatu dengan militan PKM ataupun meneruskan hasrat berjuang di
atas platform lain termasuk menyertai Parti Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO).
Perjuangan melalui parti dan
gerakan (UMNO) yang sah itu adalah lebih teratur dan meluas dengan melibatkan
pelbagai pertubuhan Melayu di Semenanjung, yang akhirnya berjaya menuntut
kemerdekaan tanah air dan membina sejarah serta melangsungkan tamadun moden
pasca merdeka di negara ini.
Bagaimanapun Mat Indera telah
memilih untuk menjadi anggota gerakan komunis militan dan ganas dalam gerakan
penentangan bersenjata PKM terhadap pentadbiran British.
Tindakannnya terus menyertai
PKM dan menyertai gerakan militan adalah haram, tidak sah dan tidak benar
dengan menggunakan taktik kekejaman dan kezaliman, sehingga menyebabkan dia
termasuk dalam golongan yang bertindak secara salah dan terpesong.
Ini berlainan dengan para
pemimpin haluan kiri yang lain seperti Dr. Burhanuddin, Ahmad Boestamam, Ishak
Muhammad ataupun Ibrahim Yaakub yang tidak memilih untuk bertindak secara
militan.
Kemuncak penglibatan Mat Indera
dalam gerakan ganas dan kejam PKM itu adalah peristiwa serangan komunis ke atas
balai polis Bukit Kepong, Muar pada 23 Februari 1950.
Fakta yang diperolehi daripada
pelbagai sumber oleh sebilangan penyelidik ilmiah mengenai peristiwa itu
menunjukkan bahawa Mat Indera telah merancang operasi ganas tersebut terhadap
pegawai-pegawai polis British, tetapi telah diingkari oleh anggota di bawah
kepemimpinannya yang menyerang dengan kejam semua sekali anggota polis dan
keluarga mereka di balai polis Bukit Kepong.
Sebagai seorang daripada
pemimpin rejimen ke-10 Parti Komunis Malaya yang diharamkan, Mat Indera adalah
bertanggungjawab sepenuhnya terhadap serangan tersebut.
Natijahnya, dia telah dianggap
oleh penduduk tempatan di kampungnya sebagai pengganas yang kejam dan zalim,
sehingga mengancam ketenteraman dan keselamatan orang awam di tanah air.
Sedangkan ketika itu orang lain
sedang bertungkus-lumus berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan dengan kaedah
yang lebih wajar, benar dan aman yakni melalui rundingan, bukan melalui
kekejaman dan keganasan PKM yang memusnahkan nyawa, jiwa dan harta benda
negara.
Mat Indera juga didapati
berusaha keras mempengaruhi dan mengajak rakyat Melayu untuk menyertai kegiatan
haramnya dalam gerakan PKM yang mempunyai cita-cita yang lebih buruk dari
'Malayan Union' British sebelum itu.
Komunis memang menentang
pentadbiran British di Tanah Melayu secara militan bersenjata untuk menubuhkan
'People's Democratic Republic of Malaya' yang membawa natijah penghapusan
kedaulatan Melayu di tanah airnya dan penguasaan bangsa asing di negeri Melayu.
Malaysia yang pada ketika itu
dengan nama Persekutuan Tanah Melayu sangat-sangat bertuah kerana ramai
penduduk tidak menyokong PKM, sebaliknya bersama-sama pasukan kerajaan
membanteras kekejaman pengganas komunis.
Itulah yang berlaku sehingga
tertangkapnya Mat Indera apabila kepemimpinan peringkat masyarakat di Kampung
Parit Baru, Seri Medan sendiri yang merancang dengan kerjasama polis untuk
memerangkap dan memberkasnya ketika dia datang ke kampung berkenaan.
Akhirnya Mat Indera telah
berjaya ditangkap dan dijatuhi hukuman mati kerana peranannya dalam tindakan
ganas dan jenayah membunuh dengan kejam sebagai anggota pergerakan komunis
militan dan teroris yang diharamkan sehingga ke hari ini.
Sokongan penduduk ini memberi
sumbangan besar yang menyebabkan pengganas komunis gagal mencapai cita-cita
mereka iaitu menubuhkan Republik Komunis Malaya.
Dalam hal ini, sudah tentu
perjuangan pengganas komunis amat berbeza sekali dengan perjuangan UMNO yang
diasaskan oleh Dato' Onn Jaafar dan diteruskan oleh Tunku Abdul Rahman Putra
al-Haj, iaitu menuntut kemerdekaan melalui rundingan dan menubuhkan Kerajaan
Persekutuan Tanah Melayu berdaulat berlandaskan Demokrasi Raja Berpelembagaan.
Berdasarkan fakta-fakta sejarah
peristiwa Bukit Kepong itu, Mat Indera adalah dengan sengaja dan sedar menjadi
anggota gerakan pertubuhan besar pengganas komunis PKM, sebagai Ketua Regimen
ke-10, yang kejam serta zalim serta mengancam keselamatan dan ketenteraman
orang awam pada ketika itu.
Dia bukan seorang 'pejuang'
untuk mendapatkan kemerdekaan negara yang pada masa itu sedang diusahakan
secara rundingan aman dan lebih berhemah serta bertamadun.
Sehingga hari ini, ketika
rakyat negara ini sudah merdeka dan berkerajaan sendiri sejak 1957, gerakan PKM
tetap diharamkan. Gerakan itu diharamkan kerana cita-cita komunisme yang
bertentangan dengan ajaran Islam, ketuhanan dan bersifat menindas perbezaan pendapat
dalam sistem demokrasi, walaupun sudah ada perjanjian perletakan senjata parti
itu di Betong (Thailand) dengan kerajaan Malaysia pada 1989.
Dari sudut kegiatan Yayasan
Warisan Johor (YWJ) segala kajian, penulisan dan catatan yang berhubung sejarah
negeri, termasuk perjalanan hidup watak-watak seperti Mat Indera, adalah
data-data kemasyarakatan berkaitan seorang anggota masyarakat yang pernah
menonjolkan diri dalam peristiwa-peristiwa sejarah yang berlaku di negara ini,
khususnya di negeri Johor dalam perjalanan sejarah negara mencapai kemerdekaan
pada 31 Ogos 1957.
Penulisan dan catatan tersebut
adalah menjadi bahan-bahan kajian di atas prinsip kebenaran akademik yang
diamalkan olek kerajaan Malaysia kini, untuk mengayakan lagi khazanah maklumat
dan rakaman-rakaman peristiwa sejarah kemerdekaan untuk tatapan dan pengetahuan
generasi demi generasi sebagai iktibar, panduan dan peringatan masa akan
datang.
DATUK ABDUL GHANI OTHMAN
Menteri Besar Johor
RUJUKAN:http://www.utusan.com.my/utusan/info.aspy=2011&dt=0908&pub=utusan_malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm#ixzz2of1Aikgp
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment