Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR
khadijah.mohamadnor@kosmo
PROJEK baja kompos yang
diusahakan oleh pasukan Eco-Greenator dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK)
Bandar Tasik Kesuma di Beranang, Selangor dinobatkan sebagai juara pertandingan
Suara Remaja Memperjuangkan Pemuliharaan.
Ternyata usaha gigih pasukan
tersebut selama beberapa bulan sejak bulan Mac 2013 tidak sia-sia.
Ketua projek, Muhammad Afiq
Omaruddin, 16, mengakui kejayaan tersebut begitu bermakna buat mereka yang
menyertai pertandingan tersebut buat kali pertama tahun ini.
“Alhamdulillah, rasa amat teruja
apabila kami diumumkan sebagai juara pada pertandingan akhir ini. Meskipun
pasukan lain juga hebat dengan pelbagai projek pemuliharaan, tetapi tuah
memihak pada kami,” tutur Muhammad Afiq.
Program yang dikenali dengan
singkatan YV4C itu merujuk kepada Young Voices for Conservation dianjurkan oleh
pertubuhan Treat Every Environment Special (TrEES) sebagai satu inisiatif
menggalakkan golongan pelajar mencintai alam sekitar. Ia telah mendapat
kelulusan daripada Kementerian Pelajaran dan disokong oleh Affin Bank Berhad
(Affinbank).
PESERTA dari SMK Bandar Tasik
Kesuma memproses baja kompos di sekolah mereka.
Enam terpilih
Pada peringkat awal, sebanyak
39 pasukan dari sekolah-sekolah di Selangor, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan
Putrajaya bersaing untuk merebut tempat ke peringkat seterusnya.
Namun, hanya enam sekolah
terpilih ke peringkat akhir berdasarkan projek yang diusahakan bagi memelihara
alam sekitar yang berlangsung pada 12 November lalu di Pusat Komuniti Bukit
Bandaraya, Bangsar.
Pasukan tersebut terdiri
daripada SMK Cheras Jaya, SMK Taman Sea, SMK Bandar Tasik Kesuma, SMK Serendah,
SMK Wangsa Melawati dan SMK King George V.
Menurut Muhammad Afiq,
pasukannya berjaya menghasilkan 150 kilogram baja kompos organik daripada bahan
buangan taman dan sisa makanan yang diambil dari kantin sekolah.
“Kemudian, baja itu kami
gunakan untuk menyuburkan taman-taman di kawasan sekitar sekolah. Malah,
sebahagian daripada baja tersebut telah dijual bagi membiayai kos untuk
meneruskan pelaksanaan projek ini,” jelasnya ketika ditemui.
Sepanjang program ini
berlangsung, setiap pasukan tampil dengan penyelesaian sendiri untuk
menghijaukan sekolah dan menggembleng tenaga warga sekolah masing-masing bagi
menjayakannya.
PESERTA dari SMK Serendah
bekerjasama membina pagar taman di cerun yang berhampiran kantin sekolah
mereka.
Gubah taman
Selain itu, para peserta turut
dibantu merancang dan melaksanakan projek melalui bengkel latihan yang diadakan
oleh pihak penganjur.
Pengarah TrEES, Christa Hashim
memberitahu, secara keseluruhan, lebih 65 tan bahan kitar semula seperti
kertas, plastik, tin, kotak minuman dan minyak masak terpakai berjaya
dikumpulkan oleh sekolah-sekolah tersebut.
“Setiap pasukan juga kreatif
menggubah taman yang ditanam dengan pelbagai pokok untuk mempelbagaikan
tumbuhan semula jadi di sekolah masing-masing.
“Hakikatnya, melalui
pertandingan ini, para peserta dapat mencungkil bakat yang ada dalam diri,
meluaskan pengetahuan, menajamkan kemahiran dan mengenali erti semangat
berpasukan untuk meraih kejayaan,” ungkap Christa.
Antara projek unik yang menarik
perhatian ialah pemindahan kelawar yang tinggal di loteng SMK King George V di
Seremban, Negeri Sembilan melalui penyediaan sarang kelawar di tempat lain.
Meskipun kelawar berguna bagi
alam sekitar, tetapi guano atau najis kawanan haiwan itu mampu membahayakan
kesihatan warga sekolah tersebut.
Contoh baja kompos yang
dihasilkan pelajar dalam program YV4C ini.
Projek mengusahakan sebuah
taman di lereng bukit di SMK Serendah bagi mengelakkan berlakunya hakisan tanah
juga harus diberi pujian.
“Kami bimbang keselamatan
penghuni sekolah jika berlaku hakisan tanah pada cerun-cerun yang curam
bersebelahan kantin sekolah ini. Sebab itulah kami sepakat untuk menanam pokok
dalam mengekalkan keutuhan tanah di situ,” kata wakil pasukan, Teh Ai Yee, 16.
Bagi pasukan dari SMK Cheras
Jaya pula, kertas sisa dan bungkusan plastik dari kantin sekolah yang dahulunya
dibuang kini dianggap sebagai sumber yang berharga.
Justeru, mereka bertindak
mengitar semula dan menggunakan untuk mengindahkan kawasan taman. Malah, sisa
kertas digunakan semula sebagai kantung pelindung sayur-sayuran dan membuat
kertas lukisan serta kolaj.
Sementara itu, menggunakan
sistem membuat kompos yang digelar bokashi, pasukan dari SMK Taman Sea berjaya
mengurangkan sisa makanan mentah dari dapur kantin dan sisa makanan yang sudah
dimasak tetapi tidak habis dimakan oleh pelajar.
Kompos bokashi ini digunakan
untuk menyuburkan sepetak tanah kosong yang dijadikan kebun sayur-sayuran
organik di sekolah mereka.
Usaha ini juga secara tidak
langsung mendidik warga sekolah tentang cara menggunakan baja organik untuk
menanam buah-buahan dan sayur.
Untuk maklumat lanjut mengenai
program ini layari laman www.facebook.com/YV4C.TrEES.
SUMBER:KOSMO ONLINE 1.1.2014
No comments:
Post a Comment