Ad

Tuesday, 31 December 2013

Ribut salji di Asia Barat

 
KENDERAAN yang terperangkap dalam salji setebal 37 sentimeter.

RIBUT salji yang melanda sebahagian besar Asia Barat pada Jumaat lalu telah menenggelamkan Baitulmuqaddis, menyebabkan banjir di Gaza dan keadaan dingin serta basah di negara yang bergolak, Syria.

Keadaan itu juga merupakan kali pertama selepas 100 tahun Baitulmuqaddis diliputi salji tebal yang menyebabkan beberapa tempat utama ditutup.

Menurut laporan agensi berita AFP, ribut salji terburuk sejak tahun 1879 itu turut menyebabkan gangguan bekalan elektrik ke atas lebih 29,000 kediaman di seluruh Israel, termasuk 13,000 di Baitulmuqaddis.

Keadaan tersebut telah memaksa pihak berkuasa meningkatkan kawalan dan melakukan sekatan kepada orang ramai yang ingin melawat bandar-bandar bersejarah di negara berkenaan.

Di samping itu, agensi berita Mesir, MENA melaporkan, pelabuhan utama di Laut Mediterranean dan Laut Merah ditutup selama tiga hari berturut-turut sebagai langkah berjaga-jaga.

Salji turut meliputi Ramallah dan Bethlehem, bandar raya Palestin yang terletak berhampiran Baitulmuqaddis, sementara beberapa kawasan di tanah rendah mengalami banjir ekoran hujan lebat.

Dengan salji turun berterusan dan suhu persekitaran yang kian menurun, beberapa kawasan di Lebanon, Turki dan utara Syria turut berhadapan dengan tiupan angin kuat dan sejuk sejak seminggu lalu. Ia membawa satu lagi musibah kepada dua juta penduduk Syria yang sedia dilanda kekacauan dan kemusnahan lantaran perang saudara.

Ekoran itu, pihak berkuasa Israel telah mengeluarkan arahan menerusi media pada Jumaat lalu yang menghalang orang ramai memasuki dan keluar dari Baitulmuqaddis.

"Seramai 1,500 orang yang terkandas dalam kesesakan jalan raya telah diselamatkan. Kira-kira 1,000 orang diberi perlindungan di Pusat Persidangan Antarabangsa
PENDUDUK yang terjejas akibat banjir ditempatkan di dalam khemah di pusat-pusat penempatan sementara.

Baitulmuqaddis, sementara ratusan lagi dibawa ke pangkalan tentera berhampiran," ujar jurucakap polis, Micky Rosenfeld.

Tambahnya, tiga buah pusat kecemasan telah dibuka dan seramai 350 orang penduduk dirawat disebabkan simptom kesejukan.

Datuk Bandar Baitulmuqaddis, Nir Barkat telah meminta bantuan tentera untuk membantu dan menggesa agar penduduk sekitar berada di rumah masing-masing.

"Selama 54 tahun saya hidup, tidak pernah saya melihat pemandangan seperti yang berlaku di sini," ujar Nir.

Takat beku

Ketebalan salji adalah kira-kira 37 sentimeter. Suhu di bandar raya itu diramalkan mencecah 2 darjah Celsius pada waktu siang dan menurun ke takat beku pada sebelah malam

Perubahan cuaca itu turut mendapat perhatian Setiausaha Negara Amerika Syarikat, John Kerry ketika melawat negara itu baru-baru ini dengan menyatakan suasana sejuk tersebut sama seperti di kampungnya.

Tebing Barat yang dilanda banjir memaksa pemerintah Hamas memindahkan penduduk di lebih 60 kediaman ke sebuah pusat penempatan sementara.

Keadaan buruk itu telah memaksa Israel membuka lintasan Kerem Shalon ke Gaza bagi membolehkan usaha-usaha kemanusiaan ekoran permintaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Di Syria, seorang kanak-kanak dan bayi dilaporkan maut ekoran keadaan sejuk minggu lalu.

Malah, seorang aktivis di sebuah bandar kawalan pemberontak berkata, penduduk mengalami kesukaran untuk melindungi diri daripada kesejukan disebabkan ketiadaan bekalan elektrik, makanan dan bahan bakar.

"Kebiasaannya, kami berdepan tembakan, pertempuran, kekurangan makanan dan bahan api. Pada hari ini, keadaan bertambah buruk dengan kehadiran salji dan keadaan yang teramat sejuk," kata Abu Anas melalui internet dari bandar Hara.

Tambahnya, kanak-kanak dan warga emas merupakan golongan yang paling terjejas.

Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) terpaksa menunda bantuan udara antarabangsanya ke Syria sebelum ini dengan harapan untuk membawa masuk kira-kira 40 tan metrik bantuan dari utara Iraq.


LELAKI Palestin ini mengambil air sembahyang di kawasan Kubah Batu, Baitulmuqaddis.

Tersekat

Di bahagian timur, ribuan pengguna jalan raya telah terkandas di Iraq ekoran salji tebal.

"Anggota penyelamat telah membantu 6,600 orang dan lebih 1,700 kenderaan yang tersekat," kata Ketua Persatuan Bulan Sabit Merah tempatan, Mahmoud Mozafar kepada agensi berita ISNA.

Sedang penduduk di rantau itu mengalami kesulitan, penduduk Mesir pula sibuk berkongsi gambar-gambar salji berkenaan di media sosial.

"Keseluruhan kawasan kelihatan memutih. Ia merupakan pengalaman pertama saya melihat keadaan seperti ini," kata Karim Kheirat kepada AFP melalui telefon di bandar Medinati, timur laut Kaherah.

Kawasan-kawasan pinggir bandar lain turut memperlihatkan penurunan salji.

Di Semenanjung Sinai, ribut salji telah mengakibatkan lapisan setebal beberapa sentimeter di kawasan bergunung sekitar Biara Saint Catherine buat kali pertama sejak sedekad lalu,

Sementara itu, bandar raya utara, Iskandariah hanya menerima sedikit salji tetapi pihak berkuasa telah menutup pelabuhan di sana kerana keadaan cuaca yang buruk dan angin kencang. - AFP

SUMBER:KOSMO ONLINE 

No comments:

Post a Comment