Ad

Wednesday, 11 November 2020

Tak kisah main di Pahang, Kelantan

Oleh Zulfaizan Mansor - November 10, 2020 @ 11:12pm

zulfaizan@bh.com.my



PENGENDALI Kedah, Aidil Sharin Sahak (kiri), Ketua jurulatih Pulau Pinang, Manzoor Azwira (tengah) dan pengendali Kuala Lumpur, Nidzam Adzha Yusoff.

PENGENDALI Kedah, Aidil Sharin Sahak (kiri), Ketua jurulatih Pulau Pinang, Manzoor Azwira (tengah) dan pengendali Kuala Lumpur, Nidzam Adzha Yusoff.

KUALA LUMPUR: Pasukan yang bakal beraksi di suku akhir Piala Malaysia menyokong rayuan yang dikemukakan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya mempertimbangkan semula keputusan menangguhkan saingan tertua Asia Tenggara itu.

Pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak mengakui bersedia untuk memastikan pasukan sentiasa mempersiapkan diri untuk beraksi di venue berkecuali yang dipohon oleh pihak MFL iaitu Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu dan Stadium Darul Makmur, Kuantan bagi aksi suku akhir.

Jurulatih dari Singapura itu yakin pemain tiada masalah untuk beraksi dengan perancangan khas serta prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat termasuk mengadakan perlawanan secara berpusat iaitu "quarantine based".

"Harap kita masih boleh meneruskan saingan ini tetapi apa-apa pun kami tetap akan menghormati apa jua perancangan daripada MFL dan keputusan kerajaan.

"Apa yang penting keselamatan semua orang, dan untuk saya, tiada masalah pun kita beraksi di venue berkecuali termasuk daripada segi persiapan pemain juga tiada masalah sebab pasukan lain pun seperti kita juga.

"Jadi, ia perancangan yang adil untuk semua pasukan dan saya rasa MFL juga sudah fikirkan yang terbaik untuk kami semua, jadi harap sesuatu yang positif akan diputuskan," katanya.

Ketua jurulatih Pulau Pinang, Manzoor Azwira pula menyifatkan rayuan yang dikemukakan oleh MFL itu wajar memandangkan hanya tinggal beberapa perlawanan sahaja lagi.

Justeru, baginya cadangan daripada MFL untuk mengadakan perlawanan di venue yang tidak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) adalah yang terbaik apatah lagi jumlah pasukan juga akan berkurangan sebaik sahaja tamat aksi di pusingan suku akhir.

"Aksi suku akhir hanya membabitkan lapan pasukan, selepas itu akan tinggal lagi empat di separuh akhir, sebelum kita ke final. Jadi rasanya tidak akan menjadi isu," katanya.

Sementara itu, pengendali Kuala Lumpur, Nidzam Adzha Yusoff turut menyokong seandainya pihak kerajaan memberi lampu hijau supaya saingan Piala Malaysia diteruskan, asalkan tidak mengganggu kontrak pemain yang akan berakhir hujung bulan ini.

Justeru, baginya selagi saingan itu tetap berlangsung pada bulan ini, maka tiada masalah untuk pasukan tetap melakukan persediaan menghadapi perlawanan di venue berkecuali yang dicadangkan pihak MFL.

"Saya secara peribadi juga berharap agar Piala Malaysia dapat diteruskan dan memahami situasi yang sedang berlaku ketika ini," katanya.SUMBER BH ONLINE

No comments:

Post a Comment