MyMetroArena
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Mana janji manismu? Selepas 25 tahun menyepi akhirnya bekas pemain skuad Selangor 1995 bersuara dengan menuntut janji manis daripada pihak berkaitan yang mahu memberikan mereka tanah selepas menjuarai Piala Malaysia pada tahun itu.
Malah, selepas tempoh berkenaan, perkara terbabit seolah sudah dilupakan walaupun setiap tahun bekas pemain berkenaan sentiasa menuntut hak mereka selepas berhempas pulas memastikan skuad Gergasi Merah menjulang piala itu.
Menurut bekas kapten Selangor 1995, Ismail Ibrahim, pemberian tanah anugerah itu diumumkan sendiri oleh Menteri Besar ketika itu, Tan Sri Muhammad Muhd Taib pada 11 November 1995 dan hari ini genap 25 tahun berlalu tanpa sebarang pembelaan.
Beliau berkata, barisan pemain sudah lama bersabar dengan alasan yang diberikan pihak berkaitan dan akhirnya terpaksa meluahkan secara terbuka perkara itu supaya tindakan susulan diambil segera.
"Pada tarikh hari ini, 25 tahun lalu tanggal 11 November 1995, pasukan Selangor berjaya menjulang Piala Malaysia kali ke-28 selepas menanti selama sembilan tahun untuk menjuarai piala keagungan bola sepak negara.
"Di atas keprihatinan dan penghargaan, Tan Sri Muhammad Muhd Taib membuat pengumuman pada malam sambutan kejayaan menjuarai Piala Malaysia pads 15 November 1995 di Kelana Jaya.
"Pemberian tanah itu adalah hasil daripada mesyuarat exco kerajaan negeri sebagai hadiah selepas pasukan berjaya membenam Pahang 1-0 pada aksi final Piala Piala Malaysia itu," katanya, ketika pada sidang media, hari ini.
Hadir sama bekas penolong jurulatih Selangor, Datuk K. Rajagopal; bekas pemain Selangor, Asmawi Bakiri dan isteri pemain Selangor Anuar Abu Bakar, Siti Mariam Sathawee.
Sementara itu, Mariam mengakui ganjaran berupa sebidang tanah seperti yang dijanjikan kerajaan negeri pada 1995 sememangnya menjadi impian Anuar.
Ini kerana Allahyarham menjadi individu pertama yang mengetengahkan tuntutan terbabit namun sayangnya, harapan Anuar untuk menikmati ganjaran itu tidak kesampaian sehinggalah dia menghembuskan nafas terakhirnya pada Mei tahun lalu.
"Arwah memang selalu bercakap mengenai perkara ini. Setiap kali kami berborak mengenai bola sepak, kadang kadang dia akan bertanya 'entah dapat atau tidak tanah ini' tetapi saya katakan kepadanya Insya-Allah kalau ada rezeki, mungkin ada orang akan tolong kita.
"Memang impian arwah adalah untuk melihat perkara ini diselesaikan. Mungkin (ganjaran) ini untuk anak-anak ataupun setidak tidaknya, adalah sesuatu yang boleh dikenangkan sebagai anugerah dan tanda penghargaan kepada kita.
"Alhamdulliah usaha ini tetap diteruskan oleh sahabat juang arwah dan saya berterima kasih kerana mereka tidak pernah lupakan arwah. Jadi saya berharap pihak terbabit atau sesiapa sahaja yang prihatin dengan nasib kami, bolehlah membantu kami," katanya, di sini.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 November 2020 @ 4:14 PM
No comments:
Post a Comment