Ad

Tuesday, 30 June 2020

Harimau Malaya asah kuku di Bahrain

MyMetroArena
CHENG Hoe (tengah) mengakui bertemu Bahrain dapat menguji kemampuan pemainnya dengan corak permainan agresif. FOTO AIZUDDIN SAAD
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my


PASUKAN ranking ke-99 dunia, Bahrain bakal menguji skuad Harimau Malaya yang berada pada ranking 154 dunia dalam aksi persahabatan di Manama, Bahrain, 2 Oktober ini.

Perancangan itu sekali gus sebagai persediaan terbaik pasukan menjelang aksi getir menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Dubai pada 8 Oktober dalam aksi Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 nanti.

Pengendali negara, Tan Cheng Hoe berkata, berdasarkan jadual yang sedang disusun oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), anak buahnya bakal mengharungi perlawanan pemanas badan dengan pasukan dari negara teluk itu.

Katanya, aksi itu bagus kerana ia dapat menguji kemampuan pemainnya dengan corak permainan agresif ala 'Pak Arab' dari pasukan Bahrain.

"Kalau ikut perancangan kita akan lawan Bahrain di tempat mereka sebelum ke UAE.

"Saya sambut baik perlawanan ini sebab kita bukan saja boleh membiasakan pemain dengan suasana dan cuaca tetapi juga membiasakan pemain dengan permainan pasukan dari sana (Arab).

"Apapun, kita kena fokus dan buat persiapan sebaik mungkin dan harap semua perancangan berjalan lancar," katanya.

Sebelum ini, aksi persahabatan dengan Bahrain dibatalkan pada Mac lalu ekoran penularan pandemik Covid-19.

Selain aksi menentang UAE dalam kempen kelayakan nanti, skuad kebangsaan turut dijadual berdepan Vietnam di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 13 Oktober sebelum bertemu Thailand pada aksi terakhir Kumpulan G di Bangkok, 17 November depan.

Malaysia kini menduduki tempat kedua Kumpulan G dengan kutipan sembilan mata selepas lima perlawanan dan mereka berpeluang cerah ke pusingan akhir Piala Asia 2023 di China sekiranya mencatat keputusan positif dalam baki tiga perlawanan.

Kali terakhir Malaysia layak ke pusingan akhir Piala Asia adalah pada edisi 2007 selaku tuan rumah bersama tiga negara ASEAN yang lain, iaitu Indonesia, Thailand dan Vietnam.[i]


[i] https://www.hmetro.com.my/arena/2020/06/594904/harimau-malaya-asah-kuku-di-bahrain

No comments:

Post a Comment