Muhd. Ardie Putra Suhaimi
11 September 2018 2:01 AM
PENYERANG Malaysia, Akhyar
mengawal bola sambil dikejar dua pemain Kemboja, Bin Chanthacheary (kiri) dan
Cheng Meng pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional, Phnom Penh
malam tadi.
SKUAD bola sepak kebangsaan
berjaya bangkit daripada ketinggalan untuk meraih kemenangan ketiga di pentas
antarabangsa tahun ini selepas menewaskan Kemboja 3-1 pada perlawanan
persahabatan di Stadium Nasional, Phnom Penh malam tadi.
Keputusan tersebut sekali gus
menyaksikan skuad Harimau Malaya kembali di landasan kemenangan susulan
kekalahan mengecewakan 0-2 pada aksi persahabatan antarabangsa menentang Taiwan
di Taipei City minggu lalu.
Ketua jurulatih negara, Tan Cheng
Hoe (gambar kecil) membariskan kesebelasan terbaik apabila meletakkan gandingan
pemain muda dan berpengalaman seperti Akhyar Rasyid, Khairul Fahmi Che Mat,
Shahrul Saad dan Nazmi Faiz Mansor yang diketuai oleh Zaquan Adha Abd. Radzak
untuk mengharungi perlawanan tersebut.
Pada separuh masa pertama, skuad
negara berdepan tekanan hebat daripada pasukan Kemboja yang mengharungi
perlawanan kompetitif pertama di bawah sentuhan pengurus baharu pasukan dari
Jepun, Keisuke Honda.
Mereka meraih peluang seawal minit
keempat tetapi sepakan percuma yang dilakukan oleh Keo Sokpheng sekadar terkena
palang gol negara.
Namun, kubu skuad negara akhirnya
dibolosi oleh pasukan yang berada di ranking ke-166 dunia itu selepas rembatan
kencang Soeuy Visal bijak memperdayakan barisan pertahanan negara pada minit
ke-18.
Bersambung babak kedua, Cheng Hoe
merombak kesebelasan utama dengan memasukkan penyerang, Shahrel Fikri Md. Fauzi
serta Nik Akif Syahiran Nik Mat dan percaturan itu dilihat berbaloi apabila
skuad negara mula menguasai sebahagian besar perlawanan.
Gol penyamaan Malaysia hasil
tandukan Shahrul pada minit ke-62 berjaya memastikan lebih 40,000 penyokong
tuan rumah di Stadium Nasional tergamam.
Rentak skuad negara terus bergaya
apabila pemain pertahanan muda, Syazwan Andik Ishak bijak menyudahkan peluang
hasil hantaran Shahrel untuk menambah tekanan pasukan tuan rumah pada minit
ke-74.
Shahrel yang kini mewakili
pasukan Liga Thailand, Nakhon Ratchasima melebarkan kelebihan dengan meledak
gol ketiga buat skuad negara hasil gerakan cantik pada masa kecederaan.
Kejayaan malam tadi merupakan
kemenangan ketiga buat skuad negara tahun ini selepas menewaskan Fiji dan
Bhutan sebelum ini.
Mereka dijadualkan bertemu dengan
Sri Lanka dan Kyrgyzstan pada aksi persahabatan antarabangsa bulan depan
sebagai persediaan mengharungi kejohanan Piala AFF Suzuki yang akan berlangsung
November nanti.
SUMBER-KOSMO ONLINE 11 September
2018 2:01 AM
No comments:
Post a Comment