MyMetroArena
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
BEKAS pemain Pahang, Jalaluddin
Jaafar, sentiasa akan dikenang oleh Azamuddin Akil sebagai pemain yang paling
tenang pernah ditemuinya namun selalu menjadi pemangkin kekuatan pasukan di
sebalik era kebangkitan Pahang dari musim 2013-2015.
Azamuddin yang kini bersama
pasukan Kedah, tidak menafikan tonik di sebalik kecemerlangan skuad Tok Gajah
yang berjaya naik dari saingan Liga Perdana pada musim 2012 ialah adanya pemain
seperti Jalaluddin di dalam pasukan.
Lebih mesra disapa dengan
panggilan Abang Jalal, Azamuddin mengakui bekas ketua pasukan Pahang itu adalah
sumber inspirasi kepada pemain-pemain muda dalam pasukan.
"Abang Jalal ini kalau kita
tak berapa kenal, dia memang nampak pendiam dan tidak banyak cakap tetapi
hakikatnya dia seorang kelakar sebenarnya jika kita rapat.
"Kenangan bersamanya semasa
bersama-sama menaikkan kembali Pahang (selepas tersingkir 2011 dari Liga Super)
dengan majoriti pemain muda kekal sebagai memori paling manis dalam kerjaya.
"Dia tidak pernah marah
kepada rakan sepasukan jika ada buat kesilapan di dalam padang namun sebaliknya
dia akan berikan tips atau nasihat serta cuba berikan motivasi terutama kepada
pemain muda, dia bukan seorang yang pemarah.
"Abang Jalal memang seorang
yang tenang dan kehadirannya cukup berpengaruh kepada Pahang pada waktu itu
malah antara pertahanan kanan terbaik yang saya kenal, " katanya.
Azamuddin memilih Jalaluddin
menjadi salah seorang pemain pilihan Best XI, selain Farizal Marlias selaku
penjaga gol manakala Rosdi Talib, Aidil Zafuan Radzak dan Razman Roslan
membarisi barisan pertahanan.
Melalui formasi 4-4-2, bahagian
tengah dipelopori Gopi Rizqi, Safiq Rahim, Nor Azam Azih dan Safawi Rasid
sementara di jentera serangan, gandingan yang membawa kepada tiga kejuaraan
Piala Malaysia buat Pahang pada 2014, Dickson Nwakaeme dan Matias Conti menjadi
pilihan Azamuddin.
Selain itu, Azamuddin turut
meletakkan Safiq sebagai antara pemain paling berpengaruh dan penting jika
beraksi bersama dalam sesuatu pasukan.
"Saya pernah bersama Safiq
di JDT (Johor Darul Ta'zim) selain di pasukan kebangsaan dan apa yang saya
boleh katakan dia memang seorang pemain semula jadi di bahagian tengah.
"Tanpanya, memang susah
untuk pasukan menguasai bahagian tengah dan kehadiran Safiq cukup penting
kerana dia seorang perancang yang hebat, " katanya.
Artikel ini disiarkan pada :
Jumaat, 24 Julai 2020 @ 12:46 AM
No comments:
Post a Comment