Ad

Wednesday, 17 October 2018

Akhyar, Nik Akif tambah sengat

MyMetroArena
Firdaus Hashim
firdaushashim@nstp.com.my

SEPANG: Kehadiran dua penyerang utama Akhyar Rashid dan Nik Akif Syahiran Nik Mat dalam skuad muda negara mampu menambah sengat jentera serangan apabila turun pada Kejuaraan B-19 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di Indonesia, bermula Sabtu ini.

Akhyar dan Nik Akif yang baru saja selesai tugasan bersama skuad senior dalam dua aksi persahabatan menentang Sri Lanka, Jumaat lalu dan Kyrgyzstan malam tadi, melaporkan diri beberapa jam sebelum berlepas ke Jakarta pagi tadi.

Malah, sepanjang persiapan sejak awal bulan ini, Akhyar dan Nik Akif tidak dapat bersama pasukan yang menyaksikan mereka turut terlepas dua perlawanan persahabatan menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang dilangsung secara tertutup di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, serta Stadium Shah Alam.

Skuad negara tewas 0-2 di Paroi sebelum bangkit mengikat UAE 1-1 pada aksi kedua di Shah Alam.
Menurut pengendali pasukan, Bojan Hodak, kualiti dua pemain berbakat itu mampu memberi jawapan kepada kepincangan di bahagian depan selain memberi pilihan tambahan buatnya selepas hanya terlalu bergantung kepada Hadi Fayyadh Abdul Razak dan Zafuan Azeman.

“Sudah tentu apabila dua pemain muda ini dipanggil menyertai latihan dengan pasukan senior menunjukkan mereka memiliki kualiti terbaik untuk bersama pemain lebih senior. Ia sedikit sebanyak memberi kelebihan kepada kami (skuad B-19) terutamanya untuk memburu gol,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, hari ini.

“Pada aksi persahabatan, memang kami menghadapi kesukaran di jentera serangan kerana bukan mudah menentang pasukan Asia Barat yang mengamalkan permainan keras terutamanya di benteng pertahanan.

“Kehadiran mereka setidak-tidaknya dapat memperbaiki posisi serangan serta memudahkan saya mencatur pemilihan pemain dalam setiap aksi peringkat kumpulan,” kata pengendali berasal dari Croatia itu.

Malaysia yang hadir selaku juara Piala AFF, berdepan cabaran getir apabila diundi dalam Kumpulan D bersama Arab Saudi, Tajikistan dan China.

Anak buah Hodak akan memulakan kempen menentang Arab Saudi, Sabtu ini diikuti Tajikistan Selasa depan dengan kedua-dua aksi di Stadium Patriot, Bekasi.

Aksi terakhir berdepan China akan diadakan di Stadium Pakansari, Bogor serentak dengan aksi antara Arab Saudi dan Tajikistan di Stadium Patriot.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Oktober 2018 @ 4:24 PM

No comments:

Post a Comment