MyMetroArena
Nazri Abu Bakar
sukanteam@nstp.com.my
MELAKA: Penjaga gol skuad kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat memilih untuk
kekal mewakili pasukan Melaka United (MU) pada saingan Liga Malaysia (Liga M)
musim depan.
Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Datuk Wira Mohd
Yusof Mahadi, berkata pemain itu sudah mengesahkan minat untuk kekal bersama
skuad Hang Tuah bagi mengharungi saingan 2019.
Khairul Fahmi yang lebih dikenali sebagai Apek adalah pemain tunggal musim
ini yang menyatakan persetujuan awal untuk kekal, sebaik saja saingan MU
menamatkan saingan di pentas Piala Malaysia, walaupun kontraknya akan berakhir
November depan.
"Tawaran akan dikeluarkan kepada bekas penjaga gol Kelantan itu dalam
tempoh terdekat sambil mengharapkan tiada sebarang halangan terhadap
persetujuan awal berkenaan.
"Walaupun masih terlalu awal untuk berbicara berkaitan kontrak, namun
kenyataan Apek membuktikan komitmen dan kesungguhannnya memperkasa skuad Hang
Tuah," katanya.
Tegasnya, pemain lain dalam skuad musim ini masih belum menyatakan
perancangan mereka sama ada untuk kekal, atau sebaliknya.
Mohd Yusof mengakui, MU memerlukan sumbangan penjaga gol berpengalaman itu
bagi mengisi benteng terakhir pasukan yang diakui turut memberi sumbangan besar
dalam usaha menyelamatkan skuad daripada terjerumus ke Liga Perdana.
Apek yang menyertai MU pada pertengahan musim ini dilihat antara tunjang
utama skuad itu layak ke pentas Piala Malaysia, walaupun tersekat dalam cubaan
untuk melangkah ke suku akhir.
Selain Apek, MU turut memiliki dua penjaga gol iaitu Mohd Zamir Selamat dan
Mohd Fazli Paat.
Musim ini, MU turut memiliki ramai pemain terbaik tempatan, termasuk R
Gopinathan, S Chanturu, Azmi Muslim, Fakri Saarani, R Surendran dan Faderin
Kadir.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Oktober 2018 @ 11:30 AM
No comments:
Post a Comment