MyMetroArena
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
SELEPAS kali terakhir gelaran
Olahragawan Kebangsaan diberikan kepada sukan bola sepak pada 1976 dan 1977,
sudah tiba masanya anugerah tertinggi buat ahli sukan negara itu dianugerahkan
kembali kepada pemain bola sepak tempatan.
Berdasarkan pencapaian cemerlang
sepanjang tahun lalu, sudah tentu Safawi Rasid perlu diberi peluang untuk
dinobatkan sebagai atlet terbaik negara dengan kejayaan paling gemilang muncul
Pemain Paling Bernilai dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK).
Malah, dia turut dinobatkan pemain
terbaik perlawanan akhir Piala Malaysia di samping beberapa kali menjaringkan
gol kemenangan buat skuad negara di peringkat antarabangsa.
Prestasinya juga sangat konsisten
dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) sejak tiga musim lalu dan kejayaan menggondol
hampir 12 anugerah secara individu serta lapan trofi bersama Johor Darul Ta'zim
(JDT) sudah selayaknya dipilih sebagai calon Olahragawan Kebangsaan.
Menyingkap senarai pemenang sejak
1976, dua legenda bola sepak negara iaitu Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari dan
Datuk Shukor Salleh pernah memenangi anugerah berkenaan pada pertengahan
1970-an.
Bagaimanapun, itu kali terakhir
pengiktirafan diberikan kepada pemain bola sepak dengan selepas itu atlet
badminton, olahraga dan berbasikal mendominasi anugerah.
Menurut jurulatih UKM FC,
Sulaiman Hussin, Safawi adalah pilihan tepat untuk diberikan pengiktirafan itu.
"Safawi sememangnya layak
untuk dijulang sebagai olahragawan berdasarkan kepada aksi dan konsistensinya
sebagai seorang atlet. Walaupun sukan bola sepak adalah sukan berpasukan, perlu
diingat kehadiran Safawi dalam pasukan sentiasa memberi impak yang besar kepada
pasukan.
"Dia seorang pemain yang
boleh beraksi secara berpasukan, malah dia juga kadang-kadang boleh menukar
'butang' kepada aksi individu yang kemudiannya menghasilkan gol.
"Lihat golnya banyak
dilakukan menerusi sepakan percuma atau gerakan solo daripada sebelah tepi yang
kemudiannya menghasilkan gol.
"Kalau di Barcelona ada
Messi...kalau di Juventus ada Ronaldo, tetapi kalau pasukan Malaysia dan JDT
pula saya andaikan kena ada Safawi," katanya kepada Arena Metro.
Jelasnya,, bekas pemain T-Team
itu adalah ikon sukan negara dengan kejayaan cemerlang yang dilakarnya.
"Dia masih muda dan ketika
ini berada pada puncak prestasi. Dia juga menjadi ikutan pemain muda yang mahu
menjadi sepertinya.
"Bagi saya, selepas
ketiadaan Datuk Lee Chong Wei (bersara dari sukan badminton), dia adalah atlet
contoh terbaik daripada sukan bola sepak," katanya.
Artikel ini disiarkan pada :
Selasa, 26 Mei 2020 @ 9:18 PM[1]