SUKAN»Bola
Jumaat, 1 Mei 2020 | 5:35pm
Jurulatih pasukan Melaka United (MU). - NSTP/Rasul Azli Samad
Zainal mahu pemain MU terus kekal cergas
Oleh Nazri Abu Bakar
sukanteam@bh.com.my
MELAKA: Jurulatih pasukan Melaka United (MU), Zainal Abidin Hassan mahu anak buahnya terus mengekalkan kecergasan masing-masing walaupun Liga Malaysia (Liga M) tidak akan diadakan dalam tempoh terdekat ini.
Baginya perancangan yang disusun Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dengan mengambil kira keputusan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mendorongnya untuk memastikan kecergasan pemain masih berada pada tahap terbaik jika ianya disambung September kelak.
Menurutnya, sebagai pemain profesional, sudah pasti mereka memiliki keazaman tinggi untuk memastikan mental dan fizikal berada di landasan sebenar walaupun terpaksa berehat panjang susulan pandemik COVID-19 yang melanda negara ini.
Katanya, situasi seperti ini sebenarnya amat mencabar bukan sahaja kepada pegawai pasukan dan pemain, malah peminat yang mahu menyaksikan saingan liga.
"Namun,semuanya perlu dilalui dengan tabah dan tenang terutama dalam memastikan rantaian wabak berkenaan mampu di putuskan segera.
"Malah semua langkah yang disusun kerajaan termasuk Kementerian Kesihatan untuk kebaikan bersama. Kita akur untuk membolehkan tiada yang menjadi mangsa wabak berkenaan," katanya.
Apapun, Zainal Abidin mengharapkan jika liga berlangsung pada September ada ruang buat pasukan menjalani latihan awal bagi membolehkan semua skuad bertanding memantapkan persembahan masing masing.
Berdasarkan situasi semasa dia juga akan membentuk jadual latihan baharu sesuai dalam tempoh bertenang sekali gus menyediakan barisan pemain yang bersedia sepenuhnya untuk bersaing kelak.
Hari ini hasrat untuk melihat Liga M kembali membuka tirai lebih awal tidak menjadi kenyataan berikutan beberapa jenis sukan termasuk bola sepak masih lagi tertakluk PKP.
Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas memaklumkan semua aktiviti sukan yang membabitkan perhimpunan ramai, sentuhan badan dalam lain-lain risiko jangkitan tidak dibenarkan.
MFL dalam kenyataannya pula memaklumkan permohonan untuk menyambung semula saingan Liga M musim ini pada Ogos ini dengan sesi latihan pasukan bermula pada Julai tidak diluluskan.
Susulan itu, MFL merancang meneruskan pertandingan Liga Super dan Liga Perdana pada 1 dan 2 September sehingga 26 dan 27 September manakala Piala Malaysia pada 17 hingga18 Oktober 2020 dan berakhir pada 7 November. Piala FA dan Piala Cabaran pula dibatalkan.[1]
No comments:
Post a Comment